Transformasi pertanian Johor bakal beri impak besar kualiti hidup
MERSING: Usaha mentransformasikan sektor pertanian dan industri makanan di negeri ini yang diumumkan pada Belanjawan Johor 2021 Khamis lepas, dilihat bakal beri impak besar kepada golongan petani, penternak dan nelayan Johor, untuk meningkatkan kualiti hidup.
Antaranya peruntukan RM51 juta untuk transformasi berkenaan, yang melibatkan pelbagai program termasuk Program Jaminan Bekalan Makanan dengan peruntukan sebanyak RM6 juta, melibatkan kawasan tanaman seluas 2,168 hektar.
Seorang petani Md Daud Tamin berkata, bantuan kepada petani ini, dapat membantu mengurangkan beban mereka, terutama ketika pengeluaran hasil yang tidak memberangsangkan, berikutan cuaca tidak menentu kebelakangan ini.
Warga emas berusia 61 tahun itu mengakui, agak sukar untuk ke kebun beberapa hari ini berikutan hujan lebat hampir setiap hari, ditambah dengan pengeluaran hasil tanaman yang kian merosot.
Malah, isterinya Nor Maiza Mohammad, 47, juga tidak dapat meneruskan perniagaannya di kantin sekolah, akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekali gus menjejaskan sumber pendapatan mereka sekeluarga.
“Oleh itu, saya berharap agar kelayakan dan syarat permohonan program yang ditawarkan akan dapat dilonggarkan, memandangkan saya selalu terlepas peluang disebabkan faktor umur,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, baru-baru ini.
Dia kini mengusahakan tanaman sayur-sayuran seperti daun kesum, bunga kantan dan pisang, di Kampung
Tenglu, di sini, yang kemudiannya dijual ke pasar raya berhampiran.
Sementara itu, seorang graduan universiti Nuha Fadzli, melahirkan rasa minat untuk menceburi sektor pertanian, dengan insentif yang ditawarkan kerajaan negeri.
“Saya ingin memohon kerana ingin bergiat secara serius dalam bidang ini, sekarang ada juga usahakan tanaman kecil-kecilan seperti cili, serai dan bayam Brazil,” kata wanita berusia 25 tahun itu, yang kini bekerja sendiri.
“Berbudi kepada tanah ni banyak hasilnya. Justeru, saya ingin merebut peluang ditawarkan kerajaan negeri, lebih-lebih lagi pertanian yang sentiasa ada permintaan,” katanya lagi.
Seorang penternak ikan air tawar Muhamad Nazri Yusof, 40, juga gembira kerana keprihatinan kerajaan negeri yang prihatin terhadap nasib mereka.
Pemuda yang terlibat dalam bidang agropreneur sejak 10 tahun lepas berkata, pelbagai bantuan dan perhatian terhadap golongan berkenaan, mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam meningkatkan lagi taraf hidup rakyat.
“Ramai yang terkesan dalam berdepan krisis wabak COVID-19. Oleh itu, insentif seperti bantuan perkakas dan peralatan peranti pengumpul ikan, sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban dalam usaha memulih dan meneruskan aktiviti ternakan.
“Pada masa sama, saya berharap agar kerenah birokrasi dapat dikurangkan, selain pelaksanaan bantuan dan keperluan ini dapat disalurkan kepada golongan sasar,” katanya yang menjalankan perusahaannya di Felda Tenggaroh 2, di sini. — Bernama
JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor telah mengusir lima kapal dagang berasal dari pelbagai negara, kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Tompok Utara, berhampiran Kota Tinggi, kelmarin.
Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kesemua kapal yang berdaftar di Dominica,
Indonesia, Palau, Panama serta Liberia itu, diusir menerusi satu operasi.
“Sebuah kapal ronda APMM telah ditugaskan untuk mengusir kapal-kapal dagang terbabit, yang disahkan oleh Jabatan Laut Malaysia (JLM) tidak mempunyai kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia,” katanya menerusi kenyataan semalam.
Beliau berkata perairan Tompok Utara menjadi kawasan tumpuan bagi kapal-kapal dagang untuk bersauh, semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu, berikutan kebanyakan negara mengambil langkah sekatan pergerakan keluar masuk di pelabuhan utama.
Katanya keadaan tersebut menyebabkan kapal-kapal dagang mengambil kesempatan untuk bersauh di sekitar perairan Malaysia, tanpa kebenaran. — Bernama