Lelaki ditangkap ingkar perintah kuarantin direman
MIRI: Seorang lelaki ditangkap kerana disyaki mengingkari perintah kuarantin diperintahkan Mahkamah Majistret di sini supaya direman tiga hari bagi membantu siasatan lanjut polis.
Suspek, 24, dari Bario, Baram diperintahkan supaya menjalani reman itu di lokap Balai Polis Pusat Miri mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Menurut keterangan pegawaipenyiasatInspektorAkmal Nashreq Abdul Malik ketika mengemukakan permohonan reman memberitahu, suspek ditangkap sekitar jam 5.20 petang pada 29 November lalu di pekarangan Balai Polis Pusat Miri.
Tangkapan ke atas suspek dilakukan berikutan satu laporan dibuat seorang anggota polis di Balai Polis Pusat Miri pada malam 22 November lalu.
Dalam aduannya, mangsa, 41, bertugas salah sebuah pusat kuarantin di sini mendakwa sekitar jam 8.30 pagi hari sama, ketika bertugas bersama seorang rakan sekerja, dia dimaklumkan seorang penolong pegawai perubatan terdapat seorang lelaki diletakkan di bawah pemantauan (PUS) di pusat kuarantin itu beberapa kali keluar tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Kali pertama lelaki terbabit keluar ialah antara jam 3.33 petang hingga 9.24 malam pada 20 November, antara jam 8.57 hingga 11.05 malam pada 21 November serta antara jam 12.05 hingga 1.07 pagi pada 22 November.
Perbuatannya itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di pusat kuarantin tersebut.
Ketika disoal siasat, suspek dikuarantin di pusat itu sekembalinya dari Johor mengaku keluar untuk pulang ke rumah keluarganya di Taman Tunku.
Dalam permohonan lanjutnya, Akmal berkata reman empat hari ke atas suspek amat diperlukan membolehkan polis melengkapkan siasatan terperinci berhubung kes ini.
Bagaimanapun, mahkamah hanya membenarkan reman tiga hari ke atas suspek sehingga 3 Disember ini.