Raspberry Pi perlu diagihkan kepada sekolah menengah
MIRI: Kerajaan negeri diharap mempertimbang cadangan memperluas penggunaan komputer Raspberry Pi kepada pelajar golongan B40 di sekolah menengah.
Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni berkata selain itu komputer pintar itu perlu membina kandungan pembelajaran secara ‘offline’ atau tanpa akses Internet.
“Selain semua sekolah rendah mendapat komputer Raspberry Pi tahun depan, kita juga melihat terdapat keperluan penggunaanya di sekolah menengah terutama bagi pelajar-pelajar dalam kalangan B40.
“Padamasasama,komputer pintar itu perlu mewujudkan kandungan pembelajaran tanpa Internet untuk memudahkan pelajar luar bandar mengemas kini modul dan topik pembelajaran serta tidak tercicir,” katanya di sini semalam.
Lukanisman berkata, jaringan Internert di kawasan luar bandar adalah terhad dan kadangkala terdapat beberapa kawasan sahaja dapat diakses dengan Internet.
“Kita berharap penyedia perkhidmatan jalur lebar memperluas jaringan Internet ke kawasan luar bandar dan tahap kelajuan Internet tinggi sesuai dengan peranti terkini,” jelasnya.
Menurutnya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semua sekolah ditutup dan kaedah pembelajaran secara dalam talian menjadi satu keperluan.
“Justeru, amat perlu pelajar luar bandar dibekalkan kemudahan jalur lebar bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran dari rumah,” katanya.
Sementara itu, Lukanisman berkata Raspberry Pi merupakan komputer yang berasaskan Debian Linux serta mesra pengguna.
Ia akan dibekalkan HDMI Micro bagi memudahkan penyambungan ke papan monitor dan televisyen pintar serta memiliki aplikasi atau perisian iaitu Word, Excel daripada LibreOffice.
Terdapat 1,265 sekolah rendah di Sarawak dan setiap sekolah disediakan dengan beberapa unit.
Katanya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah meluluskan peruntukan sejumlah RM12 juta bagi membeli komputer Raspberry Pi.
Kerajaan negeri juga memeterai perjanjian dengan Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) untuk membekal Raspberry.