Lima syarikat didenda kerana gagal bayar gaji minimum kepada pekerja
KUCHING: Lima syarikat pada bulan ini (November) telah dijatuhi hukuman denda di bawah Seksyen 43 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 kerana gagal membayar gaji minimum kepada pekerja.
Menurut kenyataan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak Awang Raduan Awang Omar semalam, kelima-lima syarikat tersebut masing-masing dijatuhi hukuman di Mahkamah Majistret yang berlainan.
“Dua syarikat telah dijatuhi hukuman denda di
Mahkamah Majistret Sibu.
“Salah sebuah syarikat tersebut didenda RM3,800 atau penjara satu bulan.
“Manakala sebuah lagi syarikat dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau empat bulan penjara,” kata kenyataan terbabit.
Prosiding yang dijalankan di Mahkamah Majistret Kuching pula menjatuhkan hukuman denda kepada sebuah syarikat dengan jumlah keseluruhan denda adalah RM9,000 dan menjelaskan tunggakan gaji sejumlah RM5,413.92 kepada pekerja yang telah membuat tuntutan kes buruh.
Prosiding yang berlainan di Mahkamah Majistret Bintulu menyaksikan Majistret Zuraini Ali Musa menjatuhkan hukuman denda RM10,000 kepada sebuah syarikat yang telah melanggar Perintah Gaji Minimum serta mengarahkan majikan melangsaikan tunggakan gaji sejumlah RM6,780.90 kepada sembilan pekerja.
Sementara itu, pada prosiding di Mahkamah Majistret Kuching pada 19 November, seorang majikan telah dijatuhi hukuman denda RM5,000 atau lima bulan penjara kerana ingkar perintah Pengarah Tenaga Kerja Sarawak di bawah Seksyen 130C (a) iaitu gagal mematuhi Perintah Borang C Mahkamah Buruh iaitu bayaran baki gaji yang dituntut oleh pengadu kes buruh.
Beliau menegaskan pendakwaan ini dijadikan sebagai salah satu peringatan dan pengajaran kepada majikan di sektor swasta yang ingkar terhadap Perintah Gaji Minimum dan undang-undang perburuhan di Sarawak.