Utusan Borneo (Sarawak)

COVID-19: Kluster Jalan Ho Pin diisytihar kluster baharu

Ia kluster komuniti melibatkan Daerah Samarahan, Serian dan Kuching dipercayai akibat aktiviti ziarah semasa TBC

- Oleh Agnes Tugong

“Perebakan jangkitan COVID-19 dipercayai berlaku melalui aktiviti kunjung-mengunjung pada 11 hingga 14 Februari 2021 semasa sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) di beberapa rumah persendiri­an di sekitar tiga daerah ini." Kenyataan Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak

KUCHING: Satu kluster baharu jangkitan COVID19 diisytihar­kan di Sarawak semalam iaitu Kluster Jalan Ho Pin di Daerah Samarahan.

Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan berkata kluster ini merupakan kluster komuniti yang melibatkan Daerah Samarahan, Serian dan Kuching.

“Perebakan jangkitan COVID-19 dipercayai berlaku melalui aktiviti kunjung mengunjung pada 11 hingga 14 Februari 2021 semasa sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) di beberapa rumah persendiri­an di sekitar tiga daerah ini.

“Kes indeks kepada kluster ini adalah kes ke-7,636 iaitu seorang wanita tempatan berumur 22 tahun yang dikesan melalui saringan individu bergejala pada 18 Februari 2021.

“Hasil siasatan lanjut dan saringan ke atas kontak-kontak sosial dan tempat kerja kepada kes indeks, tambahan 13 kes positif COVID-19 telah dikesan,” katanya.

Tambah JPBNS, sehingga semalam, sejumlah 120 orang telah disaring melibatkan kluster ini dimana 14 kes didapati positif termasuk kes indeks, 41 individu negatif dan 65 individu masih menunggu keputusan.

Dengan penambahan satu kluster baharu ini, semalam terdapat 26 kluster COVID19 masih aktif di Sarawak.

Kluster aktif ialah Kluster Jalan Muhibbah, Betong; Kluster Emperoh Jambu, Kuching; Kluster Sungai Bakong, Meradong; Kluster Jalan Green, Kuching; Kluster Kejatau, Sri Aman; Kluster Jan Yong, Kapit; Kluster Geronggang, Sibu; Kluster Mas Merah, Sibu dan Kluster Univista di Samarahan.

Juga masih aktif Kluster Kampung Sungai Maong, Kuching; Kluster Gelong, Kapit; Kluster Kidurong Dua, Bintulu; Kluster Nanga Lijan, Julau; Kluster Seruas, Beluru; Kluster Sebangkoi, Sri Aman; Kluster Jun Heng, Bintulu; Kluster Bintang Daily, Meradong dan Kluster Jalan Pengiran, Matu.

Lagi kluster masih aktif Kluster Tabong, Bau; Kluster Indah Riang, Kuching; Kluster Bedayan, Serian; Kluster Rakut, Miri; Kluster Bukit Sekubong, Sebauh; Kluster Jelita, Miri; Kluster Pasai, Sibu dan Sub-Kluser Tangap di Subis.

Terdapat penambahan 16 kes bagi Kluster Emperoh Jambu semalam menjadikan jumlah kes positif meningkat kepada 117 kes.

Sejumlah 501 telah disaring di bawah kluster Emperoh Jambu ini di mana 207 negatif dan 186 masih menunggu keputusan makmal.

Terdapat juga penambahan kes bagi Kluster Jalan Muhibbah semalam (3), Kluster Sungai Bakong (13), Kluster Jalan Green (1), Kluster Gelong (19) manakala lain-lain kluster tiada penambahan kes.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia