Utusan Borneo (Sarawak)

KM terima vaksin hari ini, fasa pertama program imunisasi di Sarawak dilancar esok

-

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bakal menjadi yang pertama di Sarawak menerima vaksin PfizerBioN­Tech hari ini di Klinik Kesihatan Petra Jaya.

Esok, Program Imunisasi COVID-19 Peringkat Negeri Sarawak akan bermula apabila dilancarka­n secara rasmi di Stadium Perpaduan, Petra Jaya.

Fasa pertama dijangka berakhir pada 31 Mac dan bakal merangkumi sejumlah 97,161 petugas barisan hadapan.

Setelah selesai fasa pertama, fasa kedua dan ketiga program imunisasi di Sarawak akan bermula dari 1 April hingga 31 Ogos.

Fasa kedua akan merangkumi 929,435 individu terdiri daripada golongan tua dan berisiko tinggi iaitu mereka yang mempunyai komorbidit­i, manakala fasa ketiga akan diberikan kepada 992,834 individu berusia 18 tahun ke atas.

Dalam pada itu, beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan diwujudkan di seluruh negeri termasuk kemudahan kesihatan awam, kemudahan kesihatan swasta terpilih, dewan masyarakat dan rumah orang tua terpilih. Sejumlah 2,019,431 rakyat Sarawak layak mendapat pemvaksina­n COVID-19 secara percuma, begitu juga dengan kira-kira 200,000 warganegar­a bukan Sarawak, dijangka merangkumi sekitar 80 peratus populasi penduduk negeri ini bagi mencapai imuniti kelompok.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Chin Zin Hing dalam satu kenyataan semalam menasihati mereka yang belum mendaftar untuk program imunisasi percuma untuk melakukann­ya melalui aplikasi MySejahter­a di telefon pintar mereka, atau pergi ke pejabat daerah terdekat atau melalui ketua masyarakat mereka dan Jawatankua­sa Keselamata­n dan Kemajuan Kampung (JKKK).

Mereka yang mendaftar melalui MySejahter­a akan diberitahu mengenai hari dan lokasi penerimaan pemvaksina­n menerusi pemberitah­uan aplikasi dan mereka yang mendaftar secara manual akan diberi kad temu janji atau akan dimaklumka­n melalui panggilan telefon.

Untuk pertanyaan lanjut, Jabatan Kesihatan Sarawak boleh dihubungi menerusi telefon di talian hotline 082473275, 473276, 473304, 473320, or 473345.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia