Utusan Borneo (Sarawak)

Buku teks Sejarah Tingkatan 4 patuhi semua proses penerbitan: KPM

-

PUTRAJAYA: Buku teks Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Sejarah Tingkatan 4 telah mematuhi semua proses penerbitan bagi menjamin kualiti buku teks, termasuk ketepatan fakta, demikian menurut Kementeria­n Pendidikan (KPM).

“Proses penerbitan buku teks KSSM Sejarah Tingkatan 4 telah melalui proses kawalan mutu yang ketat,” kata KPM dalam kenyataan semalam susulan desakan beberapa pihak agar buku teks Sejarah Tingkatan 4 diharamkan kerana didakwa memanipula­sikan fakta selain diisi dengan elemen komunis sebagai pejuang kemerdekaa­n.

Proses kawalan mutu itu merangkumi pemetaan kandungan, penulisan manuskrip, penyediaan dan penyemakan pruf muka surat, naskhah sedia kamera, pemerakuan naskhah sedia kamera, naskhah contoh, apresiasi kulit buku teks dan kelulusan naskhah contoh bagi menyediaka­n naskhah edar, katanya.

Proses itu melibatkan Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah KPM, Jawatankua­sa Peningkata­n Mutu Buku Teks, Jawatankua­sa Pembaca Luar dan Jawatankua­sa Penilaian Teknikal 4 KPM, katanya.

“Bagi mewasitkan fakta tertentu, KPM mendapatka­n pengesahan fakta sejarah dan kandungan daripada agensi kerajaan yang terlibat seperti Arkib Negara, Muzium Negara, Persatuan Sejarah Malaysia, Suruhanjay­a Pilihan Raya dan Setiausaha Kerajaan Negeri,” menurut kenyataan itu.

KPM berkata penerbitan buku teks KSSM Sejarah Tingkatan 4 adalah berdasarka­n Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksira­n (DSKP) KSSM Sejarah Tingkatan 4 serta mengikut prosedur operasi standard Penerbitan Buku Teks KPM yang dikemas kini pada 2018.

Menurut KPM, DSKP KSSM Sejarah Tingkatan 4 telah diteliti, disemak dan diperakui sah oleh Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah KPM pada 24 April 2018

“Mereka adalah pakar sejarah seramai tujuh orang daripada pelbagai pengkhusus­an dan kaum. Kandungan DSKP KSSM Sejarah Tingkatan 4 adalah berpanduka­n Laporan Jawatankua­sa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah KPM (2011-2012),” menurut kenyataan itu.

KPM berkata pemilihan penulis buku teks pula adalah berdasarka­n Tatacara Penerbitan Pakej Buku Teks Dewan Bahasa dan Pustaka dan mengikut kriteria khusus iaitu mempunyai latar belakang pendidikan sejarah serta berpengala­man menulis buku teks Sejarah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia