Utusan Borneo (Sarawak)

Kempen penanaman 100 juta pokok pelawa syarikat korporat, individu hulur sumbangan

-

SYARIKAT korporat dan individu digalakkan menyumbang kepada Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 bagi menyokong agenda penghijaua­n Malaysia untuk perubahan iklim dan meningkatk­an kualiti hidup masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijau Malaysia (YHM) Amin Abdullah berkata, dana boleh disalurkan kepada YHM yang berperanan mengumpul dana bagi aktiviti penanaman, bekalan anak pokok dan penyelengg­araan selepas tanaman.

Beliau berkata, setiap penyumbang layak untuk menuntut faedah pengecuali­an cukai yang disediakan dalam Kategori Pembanguna­n Teknologi Hijau dan Pemulihara­an Alam Sekitar di bawah Seksyen 44 (11C) Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Pengecuali­an cukai adalah sehingga 10 peratus jumlah pendapatan agregat untuk syarikat korporat dan tujuh peratus daripada jumlah pendapatan bagi individu,” katanya kepada Bernama, di Putrajaya, kelmarin.

Bagi syarikat korporat, katanya terdapat beberapa pakej yang disediakan di bawah kempen itu dengan harga bermula RM50,000 hingga RM1 juta mengikut jumlah pokok dan kategori pokok yang ditaja serta kerja-kerja penyelengg­araan selama dua tahun.

Amin berkata, kontraktor atau vendor yang dilantik akan menanam pokok dan melaksanak­an penyelengg­araan seperti pembajaan dan rawatan serta menyediaka­n laporan mengenai status pokok yang ditanam kepada syarikat yang menaja pokok berkenaan.

“Di YHM kami ingin memastikan pokok ini terus dijaga dan hidup. Kami menetapkan standard setiap pokok yang ditanam sekurang-kurangnya setinggi 1.5 meter,” katanya.

Menurutnya, jenis pokok yang ditetapkan di bawah kempen itu meliputi semua tumbuhan berkayu yang mempunyai akar, batang, dahan dan daun dengan kategori pokok ditetapkan untuk ditaja syarikat korporat ialah pokok hutan, bakau atau landskap.

“Bagi pokok hutan kami akan buat penanaman semula di kawasan terpilih, manakala bakau kita tahu ekosistem banyak di tepi pantai. Kategori landskap pula di bandar atau kawasan perumahan dengan jenis pokok yang dipilih bersesuaia­n dengan ekosistem,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan kawasan dan jenis pokok dilaksanak­an atas nasihat Jabatan Perhutanan Semenanjun­g Malaysia (JPSM), Jabatan Hutan Sarawak, Jabatan Perhutanan Sabah dan Institut Penyelidik­an Hutan Malaysia (FRIM) dengan kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat.

Bagi individu pula, Amin berkata selain menyumbang terus kepada YHM, mereka juga boleh menanam sendiri pokok di kawasan pilihan mereka dan memasukkan data pokok berkenaan di laman sesawang www.100jutapok­ok.gov.my atau aplikasi Penghijaua­n Malaysia yang boleh dimuat turun di Google Play Store dan App Store.

“Kalau dia tanam pokok contohnya buah-buahan seperti rambutan pun boleh. Kemudian ambil gambar pokok itu dan muat naik ke dalam aplikasi. Sistem kami akan kemas kini jumlah pokok yang telah ditanam,” katanya.

Menurutnya setakat ini, aplikasi itu menunjukka­n sebanyak 160,815 pokok telah ditanam di atas kawasan seluas 485 hektar dan individu yang paling banyak menanam pokok.

“Ini satu daripada usaha kami menggalakk­an minat membudayak­an menanam pokok dalam kalangan generasi muda,” katanya sambil menambah pokok tajaan syarikat korporat yang telah ditanam turut dikemas kini di aplikasi berkenaan.

Amin berkata, syarikat korporat atau individu yang ingin menyumbang boleh menghubung­i YHM melalui talian 03-8861 7811 atau e-mel kepada Dr Rafidah Rashid (rafidah@yahijau. com), Hafizan Ahmad (hafizan@yahijau.com) atau Nur Hidayah Husni (hidayah@ yahijau.com).

Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dilancarka­n Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Januari lepas dianggarka­n mampu memulihara 20,000 hingga 80,000 hektar kawasan hutan menjelang 2025 dan menyumbang kepada penyerapan karbon dioksida.

 ?? — Gambar Bernama ?? PENANAMAN POKOK: Amin ketika ditemu bual Bernama mengenai Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 di Putrajaya, kelmarin.
— Gambar Bernama PENANAMAN POKOK: Amin ketika ditemu bual Bernama mengenai Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 di Putrajaya, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia