Utusan Borneo (Sarawak)

Pusat autisme ajar kemahiran vokasional akan dibuka di T’ganu: EXCO

-

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu akan mewujudkan sebuah pusat autisme yang menyediaka­n latihan kemahiran vokasional, bagi membantu anak-anak autisme berdikari dan membina kehidupan sendiri.

Pengerusi Kebajikan, Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Hanafiah Mat berkata, pusat autisme yang dijangka beroperasi mulai 1 Jun ini melibatkan peruntukan keseluruha­n bernilai kira-kira RM2 juta.

“Kita harapkan apabila kanak-kanak autisme itu kita ambil daripada umur tiga tahun, kita akan ajar dia dengan pelbagai kemahiran termasuk percakapan, membaca al-Quran dan sebagainya supaya apabila dia berusia belasan tahun dia boleh keluar bekerja dan berdikari.

“Insya-Allah ia akan dibuka di satu kuarters kerajaan lama di belakang KTS (Kuala Terengganu Specialist Hospital) yang mempunyai empat bangunan. Bagi permulaan, kos ubah suai mungkin dalam RM200,000 hingga RM300,000 dan kos operasi termasuk membeli perkakas pembelajar­an dan pengajaran mungkin keseluruha­n lebih kurang RM2 juta,” katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata, penubuhan pusat autisme itu juga telah dipersetuj­ui dan disokong oleh Menteri Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun melalui satu pertemuan di Putrajaya baru-baru ini.

Hanafiah berkata, berdasarka­n rekod daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, terdapat lebih 500 kanak-kanak autisme di seluruh Terengganu.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya juga akan membuka sebuah pusat jagaan kanak-kanak terbiar di Pusat Latihan Antarabang­sa (ITC) di Kemaman pada 15 Mac nanti.

Katanya untuk permulaan, pusat jagaan yang dinamakan Raudhatul Jannah itu akan menempatka­n 20 kanakkanak lelaki dan 20 kanakkanak perempuan, yang turut terbuka kepada kanak-kanak dari luar Terengganu.

“Contoh kanak-kanak terbiar ialah kanak-kanak yang didera, kanak-kanak yang ibu bapanya mempunyai masalah dan sebagainya. Tambahan pula pada musim COVID-19 ini ada keluarga yang menghadapi tekanan dan anak-anak mereka terabai,” katanya.

Dalam perkembang­an lain, Hanafiah berkata kerajaan negeri akan menyalurka­n bantuan wang tunai sebanyak RM500 kepada lebih 8,000 ketua isi rumah yang terjejas banjir di seluruh negeri bermula Sabtu ini.

Katanya, bantuan melibatkan peruntukan lebih RM6 juta itu akan dibayar kepada penerima melalui pusat khidmat Dewan Undangan Negeri kawasan masing-masing, dan pembayaran diharapkan dapat diselesaik­an pada 4 Mac ini.

“Pada mulanya pembayaran dijadualka­n 15 Februari tetapi ekoran pelaksanaa­n PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pada bulan lepas menyebabka­n ia terpaksa ditunda,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia