Utusan Borneo (Sarawak)

Pengayuh beca di Kota Bharu buntu punca pendapatan terjejas

-

KOTA BHARU: Enam belas pengayuh beca terdiri daripada golongan warga emas buntu memikirkan nasib mereka yang terjejas teruk sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanak­an Mac tahun lepas.

Ini kerana kebanyakan mereka bergantung harap kepada pelancong luar yang mahu menaiki beca untuk melawat destinasi pelanconga­n di negeri itu.

Pengerusi Persatuan Beca Kelantan Che Udi Che Pa berkata, pihaknya berharap kerajaan negeri mahupun pusat dapat menyalurka­n bantuan bulanan dalam tempoh sukar ini atau sekurang kurangnya memberi kebenaran rentas negeri bagi merancakka­n kembali sektor pelanconga­n domestik.

“Ada antara kami tidak memperoleh walaupun satu sen pendapatan dalam tempoh tiga hari berturut-turut, tetapi kami tetap meneruskan usaha dengan harapan ada rezeki ‘terselit’ demi kelangsung­an hidup.

“Walaupun pendapatan terjejas, tetapi tiada yang berhenti sebagai pengayuh beca kerana kebanyakan mereka memiliki beca persendiri­an,” katanya kepada pemberita di Perkaranga­n Pasar Siti Khadijah di sini semalam.

Sementara itu, seorang pengayuh beca Mansor Saadan, 69, berkata, ada kalanya mereka terpaksa pulang ke rumah dengan ‘tangan kosong’, namun tetap meneruskan kerja hakiki yang dilakukann­ya sejak 30 tahun itu.

“Jika dahulu kami mampu memperoleh­i sekitar RM50 hingga RM70 sehari, namun kini untuk mendapatka­n RM5 sehari pun sangat sukar sehingga ada ketikanya kami hanya berharap sumbangan orang awam yang lalu-lalang di sekitar parkir beca kami untuk memberikan wang. “Rata-rata pengayuh beca di sini terdiri daripada golongan warga emas berusia antara 40 hingga 80 tahun dan pekerjaan ini sahajalah mampu kami lalukan berikutan tidak mempunyai kemahiran lain, dengan kudrat untuk melakukan kerja berat lain juga sudah tiada,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia