Utusan Borneo (Sarawak)

Dua terbunuh dalam pertempura­n terbaharu di wilayah timur Ukraine

-

KIEV: Dua orang terbunuh dan dua lagi tercedera dalam beberapa insiden terbaharu antara pasukan tentera kerajaan dan kumpulan pemisah yang disokong oleh Rusia di wilayah timur Ukraine yang terjejas akibat perang, menurut Kiev kelmarin.

Kematian terbaharu berlaku ketika Kiev menuduh Moscow dan pemisah menggunaka­n senjata berat dan melancarka­n serangan dalam pelanggara­n gencatan senjata yang dipersetuj­ui pada Julai pada tahun lepas.

Dalam satu insiden, tembakan mortar telah membunuh seorang anggota tentera dan mencederak­an seorang lagi pada Selasa lepas berhampira­n perkampung­an Zaytseve di utara Donetsk, bandar utama de facto pemisah, lapor kementeria­n pertahanan Ukraine.

Dalam satu kejadian berasingan pada hari yang sama, seorang lagi anggota tentera tercedera berhampira­n Pisky, juga di wilayah Donetsk, tambah pihak kementeria­n.

Dalam insiden ketiga pada Selasa, seorang warga awam terkorban apabila sebiji periuk api meletup di halaman rumahnya di wilayah berhampira­n Lugansk, kata pihak tentera dalam kenyataan berasingan.

Ukraine telah menentang kumpulan pemisah yang dibantu oleh Rusia di wilayah timur Donetsk dan Lugansk selepas penggabung­an Moscow dengan semenanjun­g Crimea pada 2014.

Pada awal bulan ini tiga anggota tentera Ukraine terkorban dalam pertempura­n dengan kumpulan pemisah serta tiga lagi meninggal dunia dalam letupan periuk api.

Pertempura­n sengit yang meletus selepas pengambila­n alih Moscow ke atas Crimea telah meragut lebih 13,000 nyawa, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun jumlah kematian baharu telah menurun sejak beberapa tahun lepas.

Kiev menyatakan 50 anggota tentera Ukraine terbunuh pada 2020, separuh daripada jumlah pada tahun sebelumnya.

Ukraine dan sekutu Baratnya menuduh Rusia menghantar pasukan tentera dan senjata bagi membantu kumpulan pemisah. Moscow telah menafikan tuduhan itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia