Utusan Borneo (Sarawak)

KM TERIMA SUNTIKAN VAKSIN

Turut menerima vaksin di KK Petra Jaya semalam ialah Awang Tengah, Dr Sim, Dr Chin serta petugas barisan hadapan.

- Oleh Agnes Tugong

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerima suntikan vaksin COVID-19 di bawah Program Imunisasi COVID-19 Peringkat Negeri Sarawak yang bermula semalam.

Suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech diterima Abang Johari di Klinik Kesihatan (KK) Petra Jaya di sini yang merupakan antara Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi negeri ini.

Abang Johari tiba di klinik kesihatan itu pada kira-kira jam 3 petang dan diberi konsultasi sebelum persetujua­n untuk menerima suntikan vaksin.

Sebaik menerima suntikan, Abang Johari dibawa ke ruangan khas bagi pemerhatia­n selama kira-kira 15 hingga 30 minit sekiranya berlaku reaksi susulan seperti alahan atau simptom lain.

Turut menerima suntikan dos pertama COVID-19 semalam ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Pengarah Kesihatan Negeri Dr Chin Zin Hing.

Suntikan vaksin dilakukan oleh Ketua Jururawat Kesihatan KK Petra Jaya, Monica Aok dan dibantu Jururawat KK Petra Jaya, Tan Chin Yeh.

Selain itu, dua petugas barisan hadapan dari Jabatan Kesihatan Negeri iaitu Jururawat Kesihatan Awam, Juliet Tijun dan Ketua Penolong Pegawai Perubatan Bahagian Kuching, Beti Inka juga menerima suntikan dos pertama di klinik kesihatan sama.

Dr Chin ketika ditemui pemberita berkata, sebanyak 41 PPV telah memulakan proses vaksinasi semalam kecuali di bahagian Miri, Bintulu dan Limbang yang akan bermula pada minggu depan.

“Untuk hari ini (semalam) sehingga 1 Mac 2021, seluruh Sarawak kita akan memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada lebih 5,000 petugas barisan hadapan.

“Manakala untuk keseluruha­n fasa pertama kira-kira 97,000 petugas barisan hadapan akan menerima suntikan vaksin COVID-19 ini,” jelasnya.

Sementara itu, di KK Petra Jaya semalam seramai 48 petugas barisan hadapan turut menerima suntikan vaksin COVID-19, manakala di Stadium Perpaduan hari ini, seramai 1,160 petugas barisan hadapan dijangka menerima suntikan pertama mereka.

Fasa pertama bagi program imunisasi di Sarawak bermula semalam sehingga 31 Mac 2021, manakala fasa kedua dan ketiga akan bermula 1 April 2021 dan dijangka selesai 31 Ogos 2021.

Sarawak menjangkak­an pelaksanaa­n program imunisasi di negeri ini akan mencapai 70 peratus daripada 2.8 juta populasi negeri ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas merangkap Pengerusi Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

 ?? — Gambar Penerangan ?? TERIMA SUNTIKAN: Abang Johari menerima suntikan vaksin COVID-19 daripada Monica sambil dibantu Tan di Klinik Kesihatan Petra Jaya, semalam.
— Gambar Penerangan TERIMA SUNTIKAN: Abang Johari menerima suntikan vaksin COVID-19 daripada Monica sambil dibantu Tan di Klinik Kesihatan Petra Jaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia