Utusan Borneo (Sarawak)

Bantu k’jaan jayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan

Pengambila­n suntikan vaksin COVID-19 adalah harus dan wajib bagi golongan yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia

-

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia perlu membantu kerajaan menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan menyampaik­an maklumat yang tepat mengenai vaksin COVID-19 kepada anggota keluarga dan masyarakat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad AlBakri.

Beliau berkata, ini kerana pengambila­n suntikan vaksin COVID-19 adalah harus dan wajib bagi golongan yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia sebagaiman­a dijelaskan oleh Jawatankua­sa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

Katanya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah diberi suntikan dos pertama vaksin COVID-19 sebagai bukti kepada rakyat bahawa vaksin tersebut adalah selamat digunakan.

“Jauhilah segala perkongsia­n informasi yang diragui terutama dalam media sosial. Berikanlah kerjasama kepada usaha-usaha pemberian vaksin ini supaya ia dapat berjalan dengan lancar.

“Di samping itu, marilah berdoa semoga kita beroleh kemenangan dan kejayaan dalam perjuangan menentang dan menghapusk­an penularan COVID-19 dari negara ini,” katanya ketika menyampaik­an khutbah Jumaat bertajuk ‘Malaysia Prihatin: Peranan Bersama’ di Masjid Putra di sini, semalam.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bertemakan ‘Lindung Diri, Lindung Semua’ dilaksanak­an dalam tiga fasa bermula 24 Februari dengan Fasa 1 dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

Fasa 2 pula dari April hingga Ogos membabitka­n kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang, manakala Fasa 3 dari Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas - warganegar­a dan bukan warganegar­a - dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

Sementara itu, Zulkifli berkata semangat Malaysia Prihatin adalah manifestas­i cita-cita dan harapan seluruh rakyat Malaysia yang berganding bahu memerangi pandemik COVID- 19.

“Kita perlu bersatu padu tanpa mengira ideologi politik dan meliputi segenap lapisan masyarakat, sama ada pihak kerajaan, pembangkan­g, penjawat awam, sektor swasta, sukarelawa­n mahupun orang perseorang­an.” katanya.

Menurut Zulkifli, berkat kesatuan dengan semangat Malaysia Prihatin, Malaysia pernah membuktika­n andaian JP Morgan bagi bilangan kes pada pertengaha­n April 2020 tidak terjadi.

“Tidak mustahil andaian bilangan kes oleh Institute for Health Metrics and Evaluation (IHME) pada Mac 2021 ini iaitu sebanyak 20,000 kes sehari, dapat dinafikan dengan izin-Nya,” katanya.

Dilaporkan, agensi penyelidik­an JP Morgan meramalkan kadar jangkitan COVID19 di negara ini mencapai kemuncakny­a pada 14 April 2020 iaitu sebanyak 6,300 kes.

Zulkifli berkata, dua ramuan utama bagi kejayaan memaknakan semangat Malaysia Prihatin itu adalah penekanan kepada peri pentingnya keselamata­n dan kesihatan.

“Dua elemen ini menjadi penentu kepada apa yang telah kita usahakan secara bersama sejak mula pandemik COVID-19 melanda negara.

“Pandemik COVID-19 yang melanda negara telah memberi kesan yang besar kepada pelbagai sektor terutama ekonomi, pendidikan, keselamata­n dan sosial,” katanya.

Zulkifli berkata, apa yang telah diusahahak­an oleh kerajaan Malaysia pada hari ini kesemuanya adalah untuk memastikan keselamata­n dan kesihatan rakyat Malaysia amnya berada dalam kondisi yang sejahtera.

Terdahulu, Zulkifli melancarka­n Kaunter Bait Al Mahabbah di Masjid Putra di sini sebagai usaha menyampaik­an bantuan barang keperluan harian kepada golongan asnaf di sekitar Putrajaya.

Kaunter yang telah mula beroperasi sejak 11 Februari lepas itu dibuka pada hari Selasa dan Khamis bermula 2.30 petang hingga 4.30 petang di aras G, Masjid Putra. — Bernama

Jauhilah segala perkongsia­n informasi yang diragui terutama dalam media sosial. Berikanlah kerjasama kepada usaha-usaha pemberian vaksin ini supaya ia dapat berjalan dengan lancar.

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

 ?? — Gambar Bernama ?? DISUNTIK: Zulkifli ketika menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer BioNTech oleh Vaksinator, Muhammad Bakhrul Ulum Mohd Rashid di Pejabat Kesihatan Putrajaya, Presint 11 semalam.
— Gambar Bernama DISUNTIK: Zulkifli ketika menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer BioNTech oleh Vaksinator, Muhammad Bakhrul Ulum Mohd Rashid di Pejabat Kesihatan Putrajaya, Presint 11 semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia