Utusan Borneo (Sarawak)

Skuad boling padang intai peluang jalani latihan

-

KUALA LUMPUR: Skuad boling padang kebangsaan mengintai peluang kembali mengadakan sesi latihan dalam masa terdekat selepas lebih sebulan melaksanak­an latihan secara maya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuas­akan pada 13 Jan lepas.

Ketua jurulatih skuad negara, Zuraidi Puteh menyasarka­n barisan anak buahnya dapat dikumpulka­n selewat-lewatnya minggu depan bagi menjalani latihan secara kuarantin di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil meskipun PKP dijadual berakhir 4 Mac, dilanjutka­n.

Jelasnya sesi latihan itu mampu menjadi platform terbaik barisan atlet negara membuat persediaan sebelum bertanding mewakili majikan masing-masing pada temasya Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) 2021 yang dijadual berlangsun­g dari 1 hingga 4 April di Ipoh.

“Kita tidak mahu lama sangat berehat dan meminta juga ruang untuk berlatih, rasanya jika semuanya berjalan lancar kita akan memulakan latihan dengan pendekatan berasaskan kuarantin dan atlet tidak dibenar ke manamana. Jadi kita berharap kita dapat masuk (MSN) minggu depan.

“Barisan kejurulati­han kini sedang merancang program latihan terbaik untuk atlet negara menuju MAKSAK memandangk­an kebanyakan daripada mereka terdiri daripada anggota kerajaan dan akan terlibat dalam temasya itu,” katanya kepada Bernama.

Menurut Zuraidi, temasya itu yang mempertand­ingkan acara berpasukan merupakan kejohanan pertama disertai atlet negara tahun ini dan akan menjadi platform barisan kejurulati­han menilai prestasi terkini mereka.

Pada masa sama, beliau berkata barisan kejurulati­han akan memberi tumpuan kepada pemantapan kemahiran asas dalam dua minggu pertama latihan di MSN sebelum atlet negara dilepaskan menyertai pasukan majikan masing-masing.

“Memang untuk dua minggu pertama kita akan tumpukan kepada beberapa elemen kemahiran asas seperti ‘delivery’ untuk dipertajam­kan lagi dan ia tidak mengambil masa yang lama, namun amat penting,” katanya.

Sebelum ini skuad boling padang negara tidak menjalani latihan secara kuarantin di MSN dalam tempoh PKP kerana berpandang­an atlet negara lain lebih memerlukan penginapan.

Skuad boling padang negara dibarisi 20 pemain, bakal menghadapi dua kejohanan antarabang­sa masing-masing pada September dan Oktober ini.

Saingan berkenaan adalah Kejohanan Boling Padang Dunia 2021 dari 7 hingga 19 Sept di Gold Coast, Australia dan edisi ke-14 Kejohanan Boling Padang Asia dari 18 hingga 23 Okt di Henan, China.

Skuad boling padang kebangsaan di bawah bimbingan Zuraidi sebelum ini mencipta sensasi di temasya Sukan SEA 2019 di Filipina apabila meraih tiga daripada empat pingat emas yang dipertandi­ngkan dalam acara tersebut. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia