Utusan Borneo (Sarawak)

Setiausaha Agung PBB rayu pembebasan segera pelajar perempuan Nigeria

-

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB): Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres telah menyeru bagi pembebasan segera lebih dari 300 orang pelajar perempuan yang diculik oleh penyerang bersenjata di barat laut Nigeria, menurut jurucakap beliau kelmarin.

“Setiausaha agung mengecam dengan kenyataan paling tegas serta meminta bagi pembebasan mereka dengan segera dan tanpa syarat,” Stephane Dujarric memberitah­u satu sidang media.

Ia merupakan serangan sekolah yang ketiga di Nigeria dalam tempoh kurang dari tiga bulan – satu siri yang mengimbas semula kenangan penuh trauma bagi “pelajar perempuan Chibok” yang diculik oleh pejuang jihad hampir tujuh tahun lepas.

Pada 11 Disember tahun lepas, lebih dari 300 orang budak lelaki telah diculik dari sebuah sekolah di Kankara, di kampung halaman Presiden Muhammadu Buhari di Katsina, ketika beliau sedang melawat wilayah tersebut. Budak lelaki tersebut kemudian telah dibebaskan.

Pada 16 Februari, 42 orang termasuk 27 orang budak lelaki telah diculik dari sebuah sekolah oleh kumpulan yang sama di negeri Niger berhampira­n, dan masih belum dibebaskan.

“Sekolah-sekolah seharusnya kekal sebagai sebuah tempat yang selamat untuk menuntut ilmu tanpa bimbang terhadap keganasan,” tambah Dujarric.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia