Utusan Borneo (Sarawak)

Lima warga asing ditahan bersama tiga senapang

-

MUKAH: Lima warga Indonesia ditahan setelah pihak polis menemui tiga laras senapang angin buatan sendiri dalam serbuan sekitar jam 9 malam di sebuah kediaman tidak bernombor di Sungai Liuk, Balingian kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Panyau, tangkapan pertama adalah melalui satu pemeriksaa­n yang dijalankan yang mendapati empat warga Indonesia tanpa sebarang dokumen sah bersama tiga laras senapang angin buatan sendiri.

“Tangkapan pertama melibatkan tiga lelaki dan seorang wanita kesemuanya warganegar­a Indonesia berumur lingkungan 19 bingga 31 tahun,” katanya kepada Utusan Borneo.

Selain senapang angin buatan sendiri, polis turut merampas dua botol cecair metanol dan 20 biji guli.

Berikutan tangkapan pertama, satu lagi tangkapan turut dibuat ke atas seorang lagi suspek di sebuah ladang di Balingian sekitar 10.33 malam melibatkan seorang lagi lelaki warga Indonesia berumur 23 tahun.

Hasil siasatan awal polis, suspek terakhir mengakui semua senjata iaitu senapang angin buatan sendiri itu adalah miliknya yang dibuatnya sendiri.

Kelima-lima suspek tidak mempunyai pasport atau apa-apa dokumen pengenalan diri ketika tangkapan.

Kesemua suspek ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan dibawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002).

“PDRM Mukah akan bertindak tegas ke atas kesalahan membuat senjata ini, apatah lagi kesalahan ini dilakukan oleh warga asing,” ujar Jimmy.

Pihak polis juga meminta kerjasama orang ramai untuk memberikan maklumat kepada mereka sekiranya mengetahui mana-mana individu memiliki atau menyimpan senjata tanpa lesen.

 ??  ?? BAHAN BUKTI: Tiga laras senapang, dua botol cecair metanol dan 20 biji guli yang berjaya dirampas ketika serbuan di Sungai Liuk, Balingian kelmarin.
BAHAN BUKTI: Tiga laras senapang, dua botol cecair metanol dan 20 biji guli yang berjaya dirampas ketika serbuan di Sungai Liuk, Balingian kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia