Utusan Borneo (Sarawak)

COVID-19: 3,251 kes sembuh dilapor semalam, atasi jumlah kes baharu

-

KUALA LUMPUR: Jumlah kes pulih COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas di negara ini terus mengatasi bilangan kes baharu harian dengan 3,251 kes sembuh dilaporkan, namun jumlah kes baharu bagi tempoh sama meningkat sedikit kepada 2,437 berbanding 2,364 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembang­an baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia kini melepasi angka 300,000, iaitu 300,752 kes, manakala jumlah keseluruha­n pesakit yang sembuh pula sebanyak 273,417 orang.

Dr Noor Hisham berkata jumlah kes aktif dengan kebolehjan­gkitan pula sebanyak 26,205 selain sembilan lagi kematian akibat pandemik itu dilaporkan sepanjang 24 jam lepas.

“Kes baharu hari ini melibatkan 2,435 kes penularan tempatan dan hanya dua kes import, sementara sebanyak 202 kes pula dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 93 daripadany­a memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembang­an COVID-19, semalam.

Dr Noor Hisham berkata Selangor kekal mencatat kes baharu tertinggi iaitu 914 kes, diikuti Johor (340), Kuala Lumpur (337), Perak (287) dan Sarawak (171).

Sabah merekodkan 134 kes diikuti Pulau Pinang (105), Negeri Sembilan (65), Kelantan (33), Kedah (13), Terengganu (12), Pahang (11), Melaka (10), Putrajaya (3) dan Labuan (2), manakala Perlis tiada kes baharu.

Mengenai sembilan kematian baharu, Dr Noor Hisham berkata lapan kes melibatkan warga tempatan yang kesemuanya mempunyai penyakit kronik dan seorang rakyat asing berumur lingkungan 57 hingga 102 tahun, menjadikan jumlah kumulatif maut akibat wabak itu kini 1,130 orang.

Sementara itu, beliau berkata sembilan lagi kluster baharu dikesan hari ini dengan kesemuanya melibatkan penularan di tempat kerja, iaitu di Johor melibatkan Kluster Jalan Timah Tiga, Kluster Jalan Tanjung Empat, Kluster Jalan Desa Tropika dan Kluster Batu Empat.

Lima lagi kluster merangkumi tiga di Selangor iaitu Kluster Perusahaan Jalan Bukit, Kluster Industri Waja dan Kluster Jalan Selisik serta masing-masing satu di Kuala Lumpur (Kluster Tapak Bina Bukit Kiara) dan Pulau Pinang (Kluster Jalan Sungai Baong).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia