Utusan Borneo (Sarawak)

PKR diingatkan tidak hipokrit: Ketua Pemuda Amanah

-

KUALA LUMPUR: PKR diingatkan supaya tidak hipokrit dan berlidah cabang dengan menerima wakil rakyat yang lompat daripada Parti Amanah Negara (AMANAH), kata Ketua Pemuda Amanah Nasional Shazni Munir Mohd Ithnin.

Menurutnya, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu melaksanak­an tekad untuk menolak budaya lompat parti sesama komponen (Pakatan Harapan) yang jelas menguntung­kan satu pihak sahaja.

“Politik tikam belakang ini usah dibudayaka­n. Sebagai rakan gabungan dalam Pakatan Harapan (PH), menerima penyertaan wakil-wakil rakyat ini hanya akan menyebabka­n hubungan antara parti renggang dan keruh pada kemudian hari,” katanya dalam kenyataan semalam.

Shazni Munir berkata, PH secara umumnya boleh bersetuju bahawa tindakan lompat parti dalam kalangan wakil rakyat adalah suatu penghinaan terhadap sistem demokrasi negara kerana ‘membeli dan menjual’ wakil rakyat merupakan budaya bobrok (rosak) yang hina lagi keji.

“Dalam kenyataan yang dikeluarka­n Setiausaha Agung PKR (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) kelmarin, bertarikh 27 Februari dengan jelas menyebut bahawa parti berkenaan menolak tindakan lompat parti yang bertujuan ingin melemahkan mana-mana parti dalam blok pembangkan­g.

“Namun ironinya, pada tarikh berkenaan juga dilaporkan media bahawa PKR telah menerima wakil rakyat yang lompat di Johor; setelah bantahan dalaman kami suarakan rentetan kejadian sama berlaku di Selangor sebelum ini,” kata Shazni Munir.

Kelmarin, media melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang Khairuddin A Rahim mengakui beliau bersama dua lagi ADUN AMANAH dari Johor, sudah menyertai PKR.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia