Utusan Borneo (Sarawak)

Hasrat dua beradik hadiahkan kereta buat bapa tidak kesampaian

-

SEREMBAN: Hasrat dua beradik di sini untuk menghadiah­kan sebuah kereta buat bapa mereka tidak kesampaian apabila si abang, Hafidzan Zainal, 44, maut selepas terlibat dalam kemalangan ketika memandu kenderaan berkenaan untuk dibawa pulang, pada Jumaat.

Lebih menyayat hati, si adik, Mohd Fauzi Zainal, 39, yang memandu sebuah lagi kereta, turut menghembus­kan nafas terakhir selepas diserang sawan apabila melihat nasib yang menimpa abangnya di Kilometer 17, Jalan Kuala Pilah Simpang Pertang di sini pada kira-kira jam 4.30 petang.

Shah Rizal Zainal, 41, berkata tragedi itu berlaku ketika abang dan adiknya dalam perjalanan dari FELDA Pasoh, Jelebu untuk ke Taman Kobena, Senawang di sini selepas selesai urusan pembelian dan ingin menyerahka­n kereta jenis Proton Iswara Aeroback kepada bapa mereka, Zainal Sulong, 63.

“Mereka pergi dengan sebuah kereta, ketika pulang abang, yang juga seorang posmen, bawa Iswara manakala adik bawa kereta Perodua Myvi, bagaimanap­un, ketika pulang, kereta abang dipercayai terbabas. Adik pula dikatakan terkejut dan pengsan melihat abang berlumuran darah di depan matanya.

“Kedua-duanya sudah lama berhasrat menghadiah­kan ayah kereta bagi memudahkan urusan ayah untuk ke mana-mana, tetapi sudah takdir, kereta tidak dapat diguna malah mereka pula pergi dalam keadaan menyedihka­n,” katanya kepada Bernama.

Ketua Polis Daerah Jempol Superinten­den Hoo Chang Hook pula berkata, berdasarka­n maklumat awal, apabila Mohd Fauzi melihat Hafidzan terlibat dalam kemalangan itu, mangsa pengsan dan mulutnya berbuih.

“Kedua-duanya dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah di Kuala Pilah, bagaimanap­un, Mohd Fauzi disahkan meninggal ketika dalam perjalanan. Pemeriksaa­n terhadap mangsa juga mendapati tiada kecederaan atau luka luaran yang disyaki ada unsur jenayah.

“Semakan rekod perubatan juga mendapati Mohd Fauzi mempunyai sejarah sakit sawan. Bedah siasat ke atasnya dijalankan pada jam 10 pagi semalam bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya.

Beliau berkata, Hafidzan pula terbabit dalam kemalangan selepas dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar besi penghadang.

“Mangsa, yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, telah disahkan meninggal dunia pada kira-kira 8 malam selepas lebih tiga jam terlibat dalam kemalangan. Proses bedah siasat dijalankan ke atas mangsa pada 9 pagi dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987,” katanya.

Kedua-dua beradik dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam Senawang pada jam 7 malam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia