MAFI: MARDI perkenal dua varieti padi baharu
KEPALA BATAS: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) kelmarin memperkenalkan dua varieti baharu padi untuk meningkatkan tabung makanan negara.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, dua varieti MR 315 dan MRQ 104 yang diberi nama komersil ‘Seri Waja’ dan ‘Kembangsari’ masingmasing akan memberikan lebih pilihan kepada petani untuk menanam.
Menurutnya, kedua-dua varieti baharu itu berupaya tahan penyakit, sesuai dengan cuaca dan tanah dalam negara.
“Ini merupakan salah satu strategi MARDI dalam menghasilkan varieti berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada petani dalam meningkatkan pendapatan mereka selain membantu meningkatkan pengeluaran beras dalam negara,” katanya dalam Majlis Pengisytiharan dua varieti baharu padi MARDI serta pelancaran teknologi kadar boleh ubah bagi tanaman padi di sini kelmarin.
Beliau berkata, fokus kementerian sekarang adalah untuk meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos.
“Kos kajian untuk kedua varieti ini memakan masa 10 hingga 12 tahun dengan kos setiap satu kajian hampir RM5 juta,” katanya.
Kiandee menerangkan bahawa varieti MR 315 diperkenalkan untuk kepelbagaian genetik padi dan pada masa yang sama, memberi lebih pilihan kepada petani serta mengurangkan amalan penanaman varieti tunggal (monocrop) di jelapang manakala MRQ104 dihasilkan bertujuan untuk membuka pasaran beras wangi tempatan yang lebih luas.
“Hasil MR315 boleh mencecah sembilan tan sehektar manakala MRQ104 boleh mencecah lima tan sehektar,” katanya.
Selain itu, Kiandee berkata MARDI turut melancarkan teknologi kadar boleh ubah iaitu komponen pertanian tepat bagi tanaman padi.
Beliau berkata, penggunaan teknologi pertanian tepat dalam pengeluaran padi dapat meningkatkan dan menggalakkan operasi komersil berskala besar sama ada dalam bentuk sistem perladangan berkelompok atai aset.
“Teknologi yang dilancarkan akan menambah baik ‘crop establishment’, pengurangan input baja 15 hingga 25 peratus, mengurangkan penggunaan buruh 50 peratus dan mesra alam,” katanya.—