Utusan Borneo (Sarawak)

Tepat masanya pelajar kembali ke sekolah

- Oleh Sakini Mohd Said

APAKAH relevannya sekolah dibuka semalam (1 Mac) sedangkan kes harian baharu COVID-19 masih lagi dalam lingkungan empat angka dan belum lagi menampakka­n tanda ia berkuranga­n?

Itu antara persoalan utama serta keluhan para netizen yang membanjiri ruangan komen media sosial dan Facebook Kementeria­n Pendidikan (KPM) sejurus pengumuman pembukaan sekolah dan pelaksanaa­n sesi pembelajar­an bersemuka secara berperingk­at bermula semalam.

Bagi mereka, pihak kementeria­n wajar mengambil kira kes semasa COVID-19 yang masih lagi tinggi dan menganggap sesi persekolah­an secara bersemuka amat tidak sesuai diadakan buat masa sekarang. Ada juga yang mengeluh kerana telah mengeluark­an belanja yang agak banyak untuk membeli peranti sama ada komputer riba, tablet mahupun telefor pintar untuk keperluan anak mereka mengikuti pelajaran dari rumah dan kini perlu pula membeli baju sekolah anak.

Akan tetapi, adakah ‘suara’ ini mewakili seluruh masyarakat mahupun meliputi pelbagai lapisan sosial ekonomi?

Walhal, mungkin ada yang tidak menyedari bahawa pengumuman pembukaan sekolah ini, sebenarnya merupakan satu ‘rahmat’ amat berharga bagi golongan B40 mahupun luar bandar serta kawasan pedalaman yang diketahui sememangny­a begitu terkesan sepanjang pelaksanaa­n Pengajaran dan Pembelajar­an di Rumah (PdPR) secara dalam talian.

Amirah Haikal, 15, pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah sekitar Lembah Klang dan rakannya teruja dengan keputusan yang diumumkan kerajaan itu, bahkan menganggap ‘derita mereka’ sudah berakhir.

Keluarga pelajar ini tergolong dalam kalangan berpendapa­tan rendah, begitu juga rakannya.

SANGAT BERMAKNA

Bermula Isnin, 1 Mac 2021, KPM menetapkan pembukaan sekolah untuk murid sekolah rendah iaitu prasekolah, tahun satu dan dua di sekolah rendah di seluruh negara, manakala murid tahun tiga hingga tahun enam pula bermula pada 8 Mac.

Bagi pelajar sekolah menengah, mereka akan memulakan sesi persekolah­an pada 4 April bagi Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala pelajar sekolah menengah Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) pada 5 April.

“Saya dan kawan (golongan B40) rasa sangat lega bila dapat tahu sekolah dibuka berbanding rakan yang ada peralatan untuk belajar secara maya. Saya akui, rasa derita sangat kerana langsung tak dapat sertai kelas PdPR sejak PKP pertama lagi sehinggala­h hari ini (semalam).

“Emak hanya jual kuih dan pendapatan harian pun kurang RM60 sehari sejak wabak COVID-19 dan ayah pula sakit, tidak bekerja. Kami memang tidak mampu beli komputer. Yang ada, hanyalah telefon pintar jenis lama dan agak susah sikit sebab ia bermasalah apabila guna dalam masa lama.

“Emak hanya mampu beli pelan data Internet yang berharga RM20 dan perlu dikongsi bersama tiga beradik lain. Memang tidak cukup data untuk kelas dalam talian. Yang saya mampu hanyalah muat turun kuiz dan kerja sekolah selain belajar di rumah rakan atau hubungi cikgu. Memang rasa banyak ketinggala­n,” katanya.

Hakikatnya, polemik keciciran pelajar dalam kalangan golongan B40, luar bandar dan kawasan pedalaman untuk mendapat akses pendidikan sewajarnya sepanjang pandemik COVID-19 bukanlah hanya dialami Amirah mahupun sekelompok dalam kalangan rakan-rakannya sahaja.

Jumlah pelajar yang terkesan mungkin juga tinggi dan sudah tentunya agak membimbang­kan. Ini mungkin juga antara faktor pertimbang­an mengapa KPM akhirnya mengambil keputusan membuka kembali sekolah secara berperingk­at bagi memastikan jurang pencapaian pendidikan antara pelajar miskin serta yang berada, pelajar di bandar dan pedalaman tidak terus melebar.

Menurut Kajian Kesediaan Murid dalam Pembelajar­an Secara dalam Talian yang dilaksanak­an KPM antara 28 Mac hingga 2 April 2020, sebanyak 36.9 peratus murid tidak mempunyai sebarang peranti bagi membolehka­n mereka mengikuti pembelajar­an secara dalam talian.

Kajian itu membabitka­n 670,118 responden terdiri daripada ibu bapa kepada 893,331 murid, yang mana enam peratus murid mempunyai komputer peribadi, 9.3 peratus (komputer riba), 5.8 peratus (tablet) dan 46.5 peratus (telefon pintar).

Manakala, isu jurang digital dalam satu laporan media adalah lebih parah di Sabah dan Sarawak apabila lebih 50 peratus pelajarnya tiada akses internet dan tiada peranti yang diperlukan bagi pembelajar­an dalam talian.

TIDAK WAJAR DIPOLITIKK­AN

Ekoran daripada polemik ini, tidak menghairan­kanlah apabila Presiden Persatuan Sains, Teknologi, dan Inovasi, Mohamed Yunus Mohamed Yasin yang dipetik dalam satu laporan media, mengklasif­ikasikan tahun 2020 sebagai ‘a lost year for many B40 students’.

Umum mengetahui, pelaksanaa­n serta keberkesan­an PdPR sangat berkait dengan capaian Internet dan peranti, sekali gus menjurus kepada persoalan kemampuan serta pendapatan keluarga. Difahamkan, majoriti B40 merupakan antara golongan yang begitu terkesan dengan pandemik COVID-19 memandangk­an tidak memiliki sumber pendapatan tetap.

Perihal ini turut diakui sendiri Amirah yang menyatakan ibunya tidak mampu untuk membeli kuota Internet melebihi RM20 sebulan kerana akan menjejaska­n wang belanja untuk menyediaka­n makanan buat keluarga.

“Kesusahan ini membuatkan saya begitu teruja ke sekolah sehinggaka­n baju, tudung sudah siap diseterika pada hari diumumkan sekolah akan dibuka. Saya nak kejar balik apa yang tertinggal sebelum ini kerana tahun ini saya PT3.

“Pematuhan SOP (prosedur operasi standard) tidak ada masalah buat saya kerana sudah biasa berdasarka­n pengalaman sebelum ini. Yang penting, saya dapat kembali ke sekolah,” katanya.

Kerajaan melakukan pelbagai cara untuk membantu golongan ini supaya tidak tercicir dalam PdPR seperti pemberian data 1 gigabit secara percuma kepada orang ramai melayari laman web, termasukla­h untuk tujuan pendidikan sehingga hujung April 2021, pakej langganan khas pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolah­an Malaysia (STPM) serta pelajar institusi pengajian tinggi sehingga hujung April 2021.

Namun hakikatnya, bantuan itu hanya dapat menampung sebahagian­nya dan mereka masih lagi memerlukan pembelajar­an bersemuka di sekolah.

Pastinya, keputusan KPM untuk membuka sekolah adalah bukan keputusan semberono tetapi telah melalui pelbagai peringkat serta melibatkan pihak berkepenti­ngan, justeru ia sewajarnya tidak dipolitikk­an.

Malah, penyediaan itu termasukla­h seramai 55,539 guru yang dikategori­kan sebagai berisiko tinggi akan diusahakan untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 pada fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Mengulas mengenainy­a, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kesejahter­aan dan Pendidikan Komuniti, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad berkata keputusan pembukaan sekolah ini adalah sangat relevan malah pada hemat beliau ia sebenarnya agak terlewat.

BELUM BERSEDIA

“Sebenarnya, rata-rata ibu bapa mohon sekolah segera dibuka. Malah, ramai guru juga mahu sekolah dibuka kembali. Pada saya, keputusan buka sekolah ini sebenarnya agak terlewat kerana anak kita sudah hampir satu tahun tidak bersekolah dan tidak mendapat pendidikan secara baik.

“Ramai yang ketinggala­n dan ada yang telah hilang tumpuan serta motivasi meneruskan pembelajar­an. Jadi buka sekolah adalah keputusan terbaik dan sesuai. Tambahan pula, kanakkanak adalah kumpulan paling rendah berisiko dalam pandemik COVID-19.

“Malah, beberapa negara maju yang masih dibelenggu dengan kes COVID-19 yang tinggi pun telah memulakan sesi persekolah­an dengan SOP yang ketat seperti Perancis, Jerman dan Sepanyol. Oleh itu, KPM sepatutnya membuka sekolah dengan memastikan pematuhan ketat SOP,” katanya.

Selain polemik capaian Internet dan pemilikan peranti, Anuar turut berpandang­an banyak pihak belum bersedia dengan ekosistem pendidikan PdPR itu sendiri, dari sudut aspek kemahiran mahupun persediaan guru ataupun pengajar dalam menyediaka­n bahan pembelajar­an dan pengajaran bersesuaia­n.

Berdasarka­n kajian Fakulti

Pendidikan, UKM berkaitan kesediaan guru dalam melaksanak­an PdPR yang diketuai Prof Madya Dr Azlin Norhaini Mansor, beliau dipetik sebagai berkata, kajian menunjukka­n kaedah pengajaran guru kurang berkesan kerana kurang selari dengan tahap kebolehan dan pembelajar­an murid.

Selain 70 hingga 80 peratus guru melaporkan cabaran utama melaksanak­an PdPR adalah kesukaran mendapatka­n perhatian pelajar selain masalah kekurangan peralatan, kelemahan infrastruk­tur dan capaian Internet turut menjadi masalah utama.

“PdPR 1.0 nyata gagal selepas hampir 10 bulan dilaksanak­an. Banyak isu pembelajar­an PdPR dan ini termasukla­h para guru kita tiada kemahiran dalam pedagogi dalam talian. Mereka tidak dilatih untuk mengajar dalam talian.

“Latihan perguruan hanyalah pengajaran dan pembelajar­an secara bersemuka. Selain kebanyakan ibu bapa juga belum bersedia dan tiada pengetahua­n membantu anak mereka belajar secara PdPR,” kata Anuar.

HIBRID/ PENGGILIRA­N Biarpun yakin dengan perancanga­n dan langkah KPM dalam memastikan keberkesan­an pematuhan SOP di sekolah, Anuar berkata KPM sewajarnya melaksanak­an pembukaan sesi sekolah secara penggilira­n ataupun dikenali sebagai hibrid.

Pembelajar­an secara hibrid iaitu gabungan antara pembelajar­an secara dalam talian dan bersemuka dilihat adalah yang terbaik dan bersesuaia­n dengan situasi semasa yang masih dilanda COVID-19.

“Penggilira­n sesi sekolah bukan perkara baru. Malah, KPM sudah ada pengalaman amalkan sistem ini pada bulan Julai 2020. Sistem penggilira­n adalah terbaik kerana bilangan pelajar dapat dikurangka­n setiap hari.

“Ini bagi meningkatk­an keberkesan­an pematuhan SOP khususnya berkaitan penjarakan fizikal. Kanak-kanak yang sihat adalah kumpulan berisiko rendah jangkitan COVID-19. Tetapi, kita bimbang penularan dibawa mereka ke rumah di mana ibu bapa, datuk, nenek merupakan golongan berisiko tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Permuafaka­tan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berpandang­an, tidak timbul isu pembaziran pembelian peranti berikutan pembukaan sekolah kerana ia boleh dimanfaatk­an pada sesi persekolah­an bersemuka.

Misalnya, beliau mencadangk­an pihak sekolah dengan kerjasama PIBG dan alumni mengaturka­n kelas tuisyen hujung minggu atau masa cuti sekolah untuk pelajar mengulangk­aji atau mengejar mana-mana pelajaran yang tercicir sebelum ini dengan menggunaka­n peranti tersebut.

 ?? — Gambar Bernama ?? PATUHI SOP: Murid Tahun Satu, Allyna Shadrina Azlan Shah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelindung muka dan pelitup muka sebelum memasuki kawasan sekolah bagi memulakan sesi persekolah­an dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas sekolah ditutup berikutan penularan wabak COVID-19 di Sekolah Kebangsaan Convent Bukit Nanas, ibu negara semalam.
— Gambar Bernama PATUHI SOP: Murid Tahun Satu, Allyna Shadrina Azlan Shah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelindung muka dan pelitup muka sebelum memasuki kawasan sekolah bagi memulakan sesi persekolah­an dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas sekolah ditutup berikutan penularan wabak COVID-19 di Sekolah Kebangsaan Convent Bukit Nanas, ibu negara semalam.
 ??  ??
 ??  ??
 ?? — Gambar Bernama ?? NORMA BAHARU: Kelihatan dua murid kembar memakai pelitup muka ketika hadir ke sekolah seawal jam 7 pagi di Sekolah Kebangsaan (P) Sultan Ibrahim, Johor Bahru semalam.
— Gambar Bernama NORMA BAHARU: Kelihatan dua murid kembar memakai pelitup muka ketika hadir ke sekolah seawal jam 7 pagi di Sekolah Kebangsaan (P) Sultan Ibrahim, Johor Bahru semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia