Utusan Borneo (Sarawak)

Tiada satu pun ordinan darurat bertujuan bolehkan PM kekal berkuasa

-

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menegaskan tidak ada satu pun ordinan yang diperkenal­kan di bawah Proklamasi Darurat bertujuan membolehka­n perdana menteri kekal berkuasa selama-lamanya.

Malah katanya perintah darurat yang sedang dilaksanak­an itu juga mempunyai tempoh tamat pada 1 Ogos tahun ini.

“Inilah kali pertama dalam sejarah negara kita, darurat mempunyai tempoh tamat... saya sedar dan saya faham maksud demokrasi,” katanya pada majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin yang disiarkan secara langsung menerusi platform media semalam.

Muhyiddin berkata sejak darurat berkuat kuasa, Yang di-Pertuan Agong telah memasyhurk­an tiga ordinan, iaitu Ordinan Darurat (KuasaKuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Beliau berkata kesemua ordinan itu bertujuan membolehka­n kerajaan menangani pandemik COVID-19 dengan lebih cekap dan berkesan, termasuk menambah baik pengurusan penginapan pekerja asing yang menjadi antara punca utama penularan COVID-19 dalam negara.

Beliau berkata dengan adanya Proklamasi Darurat, kesemua ordinan itu dapat dimasyhurk­an dalam tempoh yang singkat tanpa perlu melalui proses di Parlimen yang kebiasaann­ya mengambil masa yang lama.

“Proklamasi Darurat yang diperkenan­kan oleh Yang diPertuan Agong adalah sematamata untuk mengatasi masalah COVID-19.

“Yang di-Pertuan Agong juga telah melantik sebuah Jawatankua­sa Khas Bebas yang turut dianggotai oleh ahli-ahli Parlimen pembangkan­g untuk meneliti keadaan darurat di negara ini dan membuat perakuan sama ada darurat boleh ditamatkan lebih awal atau sebaliknya,” kata perdana menteri.

Muhyiddin berkata beliau percaya jawatankua­sa itu akan meneliti keadaan pandemik COVID-19 di dalam negara dengan sebaik-baiknya.

“Jika jawatankua­sa ini berpuas hati bahawa masalah COVID-19 telah dapat dikawal sepenuhnya, maka perakuan boleh dibuat supaya darurat ditamatkan,” katanya.

Dalam pada itu beliau meminta pihak yang berkenaan agar memberikan ruang kepada kerajaan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha mengawal penularan pandemik tersebut.

Katanya apabila masalah COVID-19 telah dapat diatasi, beliau sendiri akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarka­n Parlimen supaya pilihan raya boleh diadakan.

“Seperti mana yang saya telah tegaskan berulang kali, saya menjunjung perlembaga­an dan prinsip demokrasi... fokus utama kerajaan pada masa ini ialah memacu negara mengharung­i krisis kesihatan dan ekonomi yang sedang dihadapi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia