Utusan Borneo (Sarawak)

Rompak: Lelaki gagal dalam rayuan untuk ketepikan penjara 12 tahun, lima sebatan

-

PUTRAJAYA: Seorang lelaki semalam gagal dalam rayuan akhirnya untuk mengetepik­an sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta lima sebatan kerana merompak seorang wanita warga emas bersenjata­kan parang dengan merentap rantai leher dipakai mangsa, lima tahun lepas.

Ini berikutan keputusan tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang sebulat suara menolak rayuan dikemukaka­n Nor Azuwan Hafifi Md Akhir, 30, selaku perayu terhadap sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 31 Julai 2019.

Perayu mengikuti prosiding rayuan itu melalui sidang video dari Penjara Kajang manakala hakim-hakim berada di Istana Kehakiman di sini dan peguam serta Timbalan Pendakwa Raya berada di pejabat masing-masing.

Abdul Karim, yang bersidang bersama-sama Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali berkata selepas mempertimb­ang penghujaha­n kedua-dua pihak dan meneliti keterangan dalam rekod rayuan, mahkamah dapati tiada merit dalam rayuan Nor Azuwan.

“Harus dicatatkan bahawa di bawah Seksyen 391 Kanun Keseksaan, tanggungan atau liabiliti melakukan kesalahan ini secara berkumpula­n adalah saksama. Sesiapa yang hadir membantu dan melibatkan diri dalam kesalahan ini memikul kesan yang sama dengan pihak lain.

“Dalam kes ini, mahkamah dapati tiada perlakuan atau peranan pasif oleh perayu. Keterangan jelas menunjukka­n dia sebagai pemerhati di luar dengan parang dan juga telah memainkan peranan untuk menakutkan isteri dan anak jiran mangsa. Dalam kes ini, tidak boleh dikatakan perayu memainkan peranan yang pasif. Apa yang dilakukan oleh pihak yang lain menjadi perlakuan perayu,” kata hakim itu.

Abdul Karim berkata mahkamah juga mendapati hakim Mahkamah Sesyen dan hakim Mahkamah Tinggi tidak melakukan apa-apa kesilapan yang mewajarkan campur tangan mahkamah ini.

“Kami dapati hukuman yang dijatuhkan itu tidak terlampau tinggi dan tidak terlampau kurang. Oleh itu, kami menolak rayuan perayu dan mengekalka­n sabitan dan hukuman 12 tahun penjara dan lima sebatan yang dijatuhi oleh kedua-dua mahkamah,” katanya.

Nor Azuwan didakwa bersama-sama dua lagi yang masih bebas melakukan rompak berkumpula­n terhadap Zaiton Mukhtar, ketika kejadian berusia 58 tahun dengan merompak rantai leher berserta loket emas bernilai RM7,000 menggunaka­n tiga bilah parang yang jika digunakan boleh mengakibat­kan kematian atau cedera parah di sebuah rumah di Puchong pada 6.45 petang, 18 April 2016.

Pertuduhan mengikut Seskyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Tania Arissa Andi Sanrang berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam menjatuhka­n hukuman terhadap perayu dan hukuman 12 tahun penjara dan lima sebatan perlu dikekalkan.

“Perayu telah merancang untuk melakukan rompakan dan kejadian berlaku lewat petang di kawasan perumahan di hadapan rumah di mana kanak-kanak sedang bermain.

“Mangsa yang dirompak adalah warga emas berusia 58 tahun dan semasa kejadian itu, perayu juga menggunaka­n sebilah parang dan menghala senjata itu kepada mangsa sebelum merentap rantai beserta loket yang dipakainya ,” katanya lagi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia