Utusan Borneo (Sarawak)

SPRM gagal lucut hak wang RM2,738,525.08 milik UMNO

-

KUALA LUMPUR: Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam gagal dalam permohonan­nya untuk melucut hak wang berjumlah RM2,738,525.08 yang disita daripada Badan Perhubunga­n UMNO Negeri Selangor, yang didakwa berkaitan skandal penyelewen­gan dana 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB).

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan pendakwa raya selaku pemohon terhadap badan politik itu sebagai responden.

Dalam penghakima­nnya, Muhammad Jamil berkata mahkamah mendapati pemohon gagal membuktika­n wang yang disita adalah hasil daripada aktiviti haram selain wang yang dikatakan diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah lama habis digunakan.

“Pihak pemohon juga tidak mencabar akaun-akaun dan penyataan yang dikemukaka­n dalam afidavit responden. Mahkamah dapati pemohon gagal membuktika­n bahawa wang yang disita adalah hasil daripada aktiviti haram. Oleh itu, permohonan pemohon ditolak,” kata hakim itu.

Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim manakala peguam Datuk Hasnal Rezua Merican dan Muzzammil Merican mewakili Badan Perhubunga­n UMNO Negeri Selangor.

Permohonan lucut hak itu difailkan pendakwa raya terhadap UMNO Negeri Selangor mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia