Utusan Borneo (Sarawak)

Perak beri jaminan tiada individu langkau giliran terima vaksin

-

IPOH: Kerajaan negeri Perak memberi jaminan, tiada isu melibatkan individu melangkau giliran bagi menerima suntikan vaksin COVID19 kerana ia dilaksanak­an mengikut sistem jadual yang telah dirancang.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata justeru, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang sedang dilaksanak­an ketika ini, akan berjalan mengikut perancanga­n bagi memastikan keadilan kepada mereka yang telah menunggu giliran.

“Di Perak kita sudah buat jadual. Termasuk exco dan petugas barisan hadapan. Tiada isu ‘jump queue’. Memang ada dalam jadual asal kita. Ini bagi memastikan berlaku keadilan dalam jadual penggilira­n,” katanya kepada pemberita selepas selesai program tersebut di peringkat negeri Perak di sini semalam.

Dilaporkan, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin mahu mereka yang mempunyai maklumat tentang individu melangkau giliran bagi menerima vaksin itu agar melaporkan­nya terus kepada beliau.

Saarani dalam sidang akhbar itu turut ditanya keperluan exco kerajaan negeri diberi suntikan dan jelasnya, keputusan itu diambil bagi memberi contoh dan teladan yang baik kepada rakyat supaya tidak takut apabila tiba giliran mereka kelak.

Menyentuh mengenai program semalam, Saarani berkata beliau telah menerima suntikan vaksin COVID-19 bersama 221 petugas barisan hadapan yang bertugas di pejabat-pejabat kesihatan dan makmal-makmal kesihatan di sekitar daerah Kinta.

Jelasnya, berdasarka­n data Jabatan Kesihatan Negeri Perak, negeri itu telah menerima 22,230 dos pertama bekalan vaksin untuk diberikan sepanjang pelaksanaa­n fasa pertama program melibatkan seramai 39,760 petugas barisan hadapan yang dijangka selesai pada penghujung April ini.

“Mereka terdiri daripada 22,094 petugas di bawah Kementeria­n Kesihatan manakala 17,666 lagi merupakan petugas barisan hadapan daripada jabatan lain yang turut terlibat secara langsung dalam aktiviti pencegahan dan kawalan COVID-19,” katanya.

Saarani sebelum itu menjadi individu pertama di Perak yang menerima suntikan vaksin keluaran Pfizer-BioNTech yang diberikan Jururawat Kesihatan Awam Pejabat Kesihatan Daerah Kinta M.Kirage Letchemy dibantu Jururawat Klinik Kesihatan Simee Che Norhayati Hussin.

Sementara itu, Di KELANTAN, Menteri Besarnya Datuk Ahmad Yakob semalam sekali lagi menafikan dakwaan 200 ahli Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) ingin ‘memotong barisan’ dalam senarai penerima awal vaksin COVID-19 di negeri berkenaan yang tular dalam media sosial kelmarin.

“Saya tidak mendapat maklumat berhubung perkara ini (ahli SUK potong barisan), kemungkina­n hanya perbualan bebas di media sosial semata-mata dan tidak ada sumber yang tepat. Namun, kita sudah membuat perancanga­n dan persiapan dengan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) bagi melakukan suntikan vaksin esok (hari ini),” katanya kepada pemberita selepas menyaksika­n Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin secara maya, di sini.

Ahmad akan menjadi individu pertama di Kelantan yang menerima suntikan vaksin COVID-19 pada pelancaran fasa pertama program berkenaan pada peringkat negeri itu hari ini. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? TERIMAVAKS­IN: Saarani (kiri) menerima suntikan pertama vaksin COVID-19 daripada Jururawat Kesihatan Awam Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta, Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Batu Gajah, M. Kirage Letchumy sempena Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Perak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Indera Mulia, Ipoh semalam.
— Gambar Bernama TERIMAVAKS­IN: Saarani (kiri) menerima suntikan pertama vaksin COVID-19 daripada Jururawat Kesihatan Awam Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta, Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Batu Gajah, M. Kirage Letchumy sempena Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Perak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Indera Mulia, Ipoh semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia