Terjejas pandemik tidak halang teruskan kerja amal
JOHOR BAHRU: Meskipun terjejas dengan pandemik COVID-19 sehingga ada antara ahlinya terpaksa gulung tikar, Persatuan Charity Haircut yang terdiri daripada pemilik kedai gunting rambut di bandar raya ini, tetap meneruskan kerja amal mereka dalam memberikan perkhidmatan secara percuma kepada golongan yang kurang berkemampuan.
Seorang ahlinya, Jolian Leow berkata sejak Mac tahun lepas, insiatif itu telah memanfaatkan kira-kira 300 orang awam yang terdiri daripada warga emas, asnaf dan penduduk di Program Perumahan Rakyat (PPR).
“Kami berikan perkhidmatan gunting rambut secara percuma untuk golongan yang memerlukan tanpa mengira usia di sekitar daerah ini hingga ke Kulai,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Program Gunting Rambut Percuma di Flat Kempas Permai, di sini semalam.
Selain perkhidmatan gunting rambut percuma, persatuan yang disertai lebih 30 pemilik kedai gunting rambut di daerah ini juga memberikan bantuan makanan menerusi tajaan daripada orang ramai.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TTEKUN) Nasional Najwa Halimah Ab Alim berkata program berkenaan merupakan usaha sama gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Prihatin Johor dan Persatuan Charity Haircut dalam memberikan perkhidmatan gunting rambut percuma kepada kanak-kanak di PPR berkenaan sempena pembukaan semula sesi persekolahan.
“Hampir 100 anak-anak di PPR ini dapat gunting rambut secara percuma dan esok kita akan berada di PPR Melana pula untuk program yang sama,” katanya. — Bernama