Skim insurans pertanian bakal dirangka
Agrobank akan bantu komuniti petani, penternak dan nelayan di seluruh negara yang terjejas
“Melalui skim pelindungan itu juga bakal dapat membantu memberi jaminan pendapatan berterusan dalam bentuk pemberian pampasan yang sewajarnya daripada pihak syarikat insurans.
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee Menteri Pertanian dan Industri Makanan
PUTRAJAYA: Bagi meringankan beban komuniti petani, penternak dan nelayan di seluruh negara yang ditimpa musibah, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah meminta Agrobank untuk mengepalai usaha bagi merangka satu skim insuran bagi industri pertanian dan agromakanan.
Pihak industri juga tidak dihalang untuk menawarkan model-model skim insuran pertanian yang bersesuaian.
Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, melalui skim tersebut ianya akan menyediakan beberapa pilihan perlindungan takaful menarik kepada golongan sasar yang ditimpa musibah sama ada bencana, serangan penyakit dan ketidaktentuan cuaca yang menyebabkan pengurangan hasil pengeluaran serta menjejaskan pendapatan mereka.
“Melalui skim pelindungan itu juga bakal dapat membantu memberi jaminan pendapatan berterusan dalam bentuk pemberian pampasan yang sewajarnya daripada pihak syarikat insurans.”
“Dalam usaha ini, pihak industri sendiri juga digalakkan untuk mengemukakan model yang bersesuaian,” katanya pada majlis Pencapaian Setahun Malaysia Prihatin (MAFI), di ibu pejabatnya, Rabu lalu.
Berbicara lanjut, Kiandee berkata, buat masa ini, tiada skim insurans bagi perlindungan sektor pertanian di negara ini, jadi MAFI akan menjadi pelopor kepada pelaksanaan skim berkenaan.
“Saya melihat perlunya skim insurans ini khususnya buat tanaman sawah padi, tanaman lain berskala besar serta tidak dilupakan industri penternakan serta perikanan.”
“Pada masa sama, kerajaan membelanjakan jumlah besar bagi tujuan penyaluran subsidi dan ganti rugi petani serta peladang yang terbabit dalam bencana alam setiap tahun.”
“Kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) menyediakan peruntukan sebanyak RM80 juta bagi tabung bencana pertanian bagi pelbagai tanaman termasuk padi.”
“Kita lihat ini adalah satu perbelanjaan besar yang harus ditanggung oleh kerajaan saban tahun dan MAFI berpendapat bahawa tabung bantuan ini tidak boleh dilakukan secara berterusan,” katanya.
Justeru, beliau berasakan, sudah tiba masanya, skim insurans itu diperkenalkan bagi membolehkannya memberi perlindungan secara berterusan kepada komuniti pertanian dan agromakanan di negara ini.
“Skim insurans bagi sektor pertanian bukan perkara unik dan baharu kerana beberapa negara pertanian seperti Filipina, Vietnam, Indonesia dan China sudah melaksanakannya.
“Secara keseluruhannya, inisiatif ini secara tidak langsung dapat mengekalkan penglibatan petani, penternak dan peladang dalam menjamin keselamatan bekalan makanan selain menjadi salah satu bentuk bantuan bagi memelihara kebajikan mereka,” katanya.
Pada majlis sama, Kiandee berkata, MAFI turut menyenaraikan lima program utama lain bagi tahun 2021 termasuklah pelancaran Dasar Agromakanan Negara 2.0 20212030 (DAN 2.0), Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara dan Skim Pembiayaan Agropreneur Muda.
“Bagi industri perikanan pula ialah pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna 2021-2030 dan Pelan Pembangunan Perikanan Negara 2021-2030,” katanya.
Menjelaskan secara lanjut mengenai DAN 2.0, Kiandee berkata ianya merupakan dasar jangka panjang bagi tempoh 10 tahun akan datang yang menggariskan pelbagai strategi dan pelan tindakan untuk memodenkan sektor agromakanan kepada industri berasaskan teknologi moden, mampan dan berdaya tahan.
“DAN 2.0 telah dibuat penjajaran dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) untuk mencapai sasaran pemodenan pertanian dan sasaran Sustainable Development Goals (SDGs) ke arah Zero Hunger.”
“DAN 2.0 akan menjadi dasar utama dan rujukan negara dalam membangunkan sektor agromakanan melalui teknologi moden dan R&D&C&I, pembangunan produk bernilai tinggi dan berorientasikan eksport, pemerkasaan sumber manusia dan tenaga kerja, penekanan kepada amalan pertanian dan sistem makanan yang mampan serta pengukuhan ekosistem perniagaan dan governans institusi,” katanya.