Panik undur kenderaan, nyaris merempuh polis
Dua penganggur ditahan selepas bertindak agresif ketika diperiksa polis Limbang, syabu dirampas
“Selepas itu, kedua-dua suspek keluar dari kereta dan cuba melarikan diri. Polis terpaksa menggunakan kekerasan minimum untuk menjayakan tangkapan kerana mereka bertindak agresif.
Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad
Ketua Polis Daerah Limbang
LIMBANG: Dua penganggur bertindak agresif apabila nyaris merempuh dua anggota polis yang berada di belakang kenderaan mereka ketika ditahan di tepi jalan Kampung Penapak, malam kelmarin.
Kedua-dua suspek berusia 23 tahun yang mempunyai rekod pelbagai kesalahan lampau itu ditahan dalam pemeriksaan sekitar jam 11.30 malam. Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, ketika diperiksa, suspek yang panik dipercayai mengundurkan kenderaan dengan laju dan membahayakan nyawa dua anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) yang berada di belakang mereka.
Bagaimanapun katanya, kedua-dua anggota polis terbabit berjaya menyelamatkan diri dengan melompat ke tepi.
“Suspek kemudiannya bertindak memecut kereta dengan laju dan melanggar bahagian hadapan kereta seorang anggota dan merempuh sebuah lagi kenderaan polis BSJN sehingga mengalami kerosakan.
“Selepas itu, kedua-dua suspek keluar dari kereta dan cuba melarikan diri. Polis terpaksa menggunakan kekerasan minimum untuk menjayakan tangkapan kerana mereka bertindak agresif,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Abang Zainal berkata, hasil pemeriksaan ke atas badan kedua-dua suspek, polis menemui syabu yang keseluruhannya seberat 0.40 gram bernilai RM50.
Jelasnya, pemeriksaan ke atas kenderaan yang dinaiki suspek tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang.
Kedua-dua suspek katanya, turut positif dadah jenis Amphetamine/Methamphetamine dan direman selama empat hari sehingga Ahad ini.
Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan/Seksyen 186 Kanun Keseksaan (cubaan bunuh/menghalang penjawat awam menjalankan tugas) serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.