Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian mengalukan bantuan menerusi PEMERKASA
KUCHING: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian mengalukan bantuan diumumkan kerajaan persekutuan menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa.
Menterinya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia ternyata sekali untuk meringankan beban mereka yang terlibat dalam industri pelancongan sama ada dalam bentuk geran atau bantuan seperti diskaun elektrik dan sebagainya.
“Kita di kementerian mengalu-alukan bantuan kerajaan persekutuan ini.
“Dengan ini sedikit sebanyak mereka yang terlibat dalam industri pelancongan akan dapat bertahan sehingga keadaan pulih seperti sedia kala,’’ katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.
Kelmarin kerajaan bersetuju menyalurkan Geran Bantuan Khas ‘one-off’ (sekali bayar) sebanyak RM3,000 kepada lebih 5,000 agensi pelancongan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di bawah PEMERKASA.
Muhyiddin ketika mengumumkan program itu berkata kerajaan juga bersetuju menyediakan bantuan tunai secara sekali bayar sebanyak RM600 kepada pengusaha inap desa yang berdaftar dengan MOTAC.
“Ini bagi mengurangkan beban dan menyokong pemulihan sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat penularan COVID-19,” katanya dalam pengumuman khas PEMERKASA yang disiarkan secara langsung melalui semua platform media pada Selasa.
Sementara itu Abdul Karim berkata, sama seperti kerajaan pusat, kerajaan negeri turut menyediakan bantuanbantuan khas untuk membantu mereka dalam industri pelancongan di negeri ini.
“Dengan bantuan-bantuan sedemikian, harapan saya agar syarikat, firma dan individu dalam industri ini akan sekurang-kurangnya dapat bertahan dan tidak gulung tikar,’’ tegasnya.