11 syarikat bas henti-henti di Sarawak terima bantuan
MIRI: Peruntukan bernilai RM5.6 juta daripada kerajaan persekutuan diberikan kepada 11 syarikat bas henti-henti di Sarawak melalui Dana Bantuan Sementara Penguasaha Bas Berhenti-Henti (DBSPB) bagi 2021 hingga 2022.
Perjanjian penerimaan dana itu ditandatangani Pengarah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak Razami Mohamad Jamali dengan pengurus syarikat bas terbabit sambil disaksikan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin pada majlis menandatangani perjanjian DBSPB di sini semalam.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat, Pemangku Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf serta ahli-ahli Lembaga Pengarah LPKP.
LPKP Sarawak dan Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan berkata, 11 syarikat layak menerima dana itu ialah Petra Jaya Transport (S) Sdn Bhd, Biaramas Express
Sdn Bhd, Bau Transport Company Sdn Bhd, City Public Link Bus Services Sdn Bhd, Lanang Road Bus Company Berhad, Rejang Transport Sdn Bhd, Sungei Merah Bus Berhad, Teku Road Bus Co Sdn Bhd, Miri Transport Co Sdn Bhd, Miri City Bus Sdn Bhd dan Miri Belait Transport Company Sdn Bhd.
DBSPB dahulunya dikenali Interim Stage Bus Support Fund (ISBSF) diperkenal Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada 2012 dengan penambaikan dibuat melalui pemeteraian perjanjian kerajaan persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan dengan syarikat pengusaha bas berhentihenti.
“DBSPB bukan sahaja meningkatkan kualiti perkhidmatan bas berhenti-henti tetapi juga meningkatkan persepsi dan keyakinan penumpang bas terhadap kualiti perkhidmatan pengangkutan awam di Sarawak.
“Dalam usaha mencapai perkhidmatan bas bertaraf dunia adalah penting bagi kerajaan menyokong syarikat-syarikat pengusaha bas berhenti-henti memastikan mereka dapat meneruskan perkhidmatan dengan cemerlang,” jelasnya.
DBSPB juga bagi menangani kerugian operasi harian pengendali bas berhenti-henti memastikan kesinambungan perkhidmatan, menggalakkan memulihkan laluan ditamatkan perkhidmatan dan mendorong meningkatkan perkhidmatan dengan menambah kekerapan perjalanan dan membaiki keadaan bas.
“Program ini melibatkan 50 laluan di seluruh Sarawak iaitu 18 laluan adalah di Kuching, 18 di Sibu dan 14 di Miri.
“Ini juga merupakan pelengkap kepada Program Tambang Bas RM1 yang dijalankan oleh Kerajaan Sarawak di bawah Subsidi Pengangkutan Awam di Kuching, Miri dan Sibu,” katanya.
Pelaksanaan program tambang RM1 di Sarawak bermula pada Mei hingga Disember 2020 dan mencapai kumulatif pengguna bas 1.22 juta dan RM5.2 juta dibelanjakan Kerajaan Sarawak untuk pembayaran subsidi kepada 12 syarikat bas.
“Oleh kerana sambutan amat memberangsangkan daripada pengguna bas, program subsidi dilanjutkan tahun ini dan jumlah pengguna bas berhenti-henti pada Januari 2021 seramai 186,512 orang dan melibatkan subsidi RM751,530.
“Secara keseluruhannya, jumlah kumulatif pengguna bas berhenti-henti bagi tempoh sembilan bulan mulai Mei 2020 hingga Januari 2021 adalah 1.418 juta dan melibatkan jumlah subsidi sebanyak RM5.99 juta,” jelasnya.
Kedua-dua subsidi itu diharap mampu mengurangkan beban kewangan rakyat bergantung kepada perkhidmatan pengangkutan bas awam dan mengurangkan kos operasi pengusaha bas berhenti-henti di negeri ini.