Dr Annuar berpuas hati pendaftaran vaksin di Sibu
SIBU: Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) Dr Annuar Rapa’ee berpuas hati dengan pendaftaran Program Imunisasi Covid19 di sini, di mana sebanyak 81 peratus daripada 203,133 orang yang disyorkan untuk menerima vaksin, telah mendaftarkan diri.
Menyifatkan perkara tersebut sebagai langkah tepat untuk mengekang penularan COVID-19 di bahagian Sibu, beliau mengatakan usaha sedang dilakukan JPBBS untuk mencapai baki 19 peratus bagi mendorong mereka mendaftar dalam program ini.
“Sejumlah 81 peratus daripada 203,133 orang di bahagian Sibu yang disarankan untuk menerima vaksin telah didaftarkan melalui aplikasi MySejahtera serta di pejabat daerah dan klinik kesihatan.
“Baki 19 peratus mungkin akan mendaftar (untuk program ini) nanti, atau mungkin masih mengamalkan sikap tunggu dan lihat.
“Walaupun begitu, kami akan menghubungi mereka kerana kami ingin mencapai 100 peratus untuk pendaftaran tidak lama lagi,” kata Dr Annuar, yang juga Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan kepada wartawan setelah menerima dos kedua vaksin COVID-19 di Klinik Kesihatan Lanang, semalam.
Beliau juga mendedahkan bahawa tujuh premis di sini telah dikenal pasti untuk program vaksinasi besarbesaran untuk orang ramai yang diharapkan bermula April hingga Ogos.
“Lokasi utama adalah di Stadium Tertutup Sibu yang dapat menampung sekitar 3,000 orang pada satu-satu masa,” katanya.
Menyentuh mengenai situasi COVID-19 di sini, Dr Annuar mengatakan beliau berharap lekuk jangkitan Covid-19 dapat diratakan dalam beberapa minggu mendatang jika tiada lagi lonjakan kes daripada kelompok baharu dicatatkan.
Beliau berkata demikian berdasarkan ramalannya terhadap tren penurunan bermula dari minggu ke8 hingga ke-11, di mana jumlah kes yang dicatatkan adalah sebanyak 289 untuk minggu ke-11, turun daripada 437 kes pada minggu ke-10, 454 kes pada minggu ke-9 dan 641 pada minggu ke-8.
Jumlah kes tertinggi dicatatkan pada minggu ke-7 dengan 715 kes atau purata 102 kes setiap hari.
“Daripada minggu ke-8 hingga ke-11, jumlah kes menunjukkan tren yang menurun.
“Jadi, jika jumlah kes untuk minggu ini dan minggu depan tidak menunjukkan peningkatan, ada kemungkinan besar kita dapat meratakan lekuk di Sibu.
“Itulah sebabnya kami bertindak pantas untuk mengurangkan kes di Kluster Hilir,” katanya.
Dr Annuar, yang juga ADUN Nangka, menerima vaksinasi dos pertama pada 27 Februari.
Bersama beliau menerima dos kedua vaksin di Klinik Kesihatan Lanang adalah Senator Robert Lau, Pengerusi JPBBS dan Residen Bahagian Sibu Charles Siaw, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting dan Pegawai Daerah Sibu Suhaili Mohamed.