PPAPP perkenal MOBBY
PERBADANAN Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) memperkenalkan satu tarikan baharu yang dikenali sebagai Perpustakaan Bergerak Hobi ataupun ‘Mobile Hobby (MOBBY)’ yang pertama di Malaysia.
Pengarah PPAPP Sharimah Salleh berkata, transformasi perpustakaan bergerak konvensional kepada perpustakaan bergerak yang lebih segar itu adalah untuk memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan maklumat tambahan mengenai hobi dan minat masing-masing sesama komuniti.
Beliau berkata, perkhidmatan MOBBY adalah terbuka untuk semua golongan masyarakat tanpa mengira usia, dan ia dilengkapi dengan koleksi bahan bacaan yang terkini bagi mereka yang berminat untuk menambah pengetahuan dan maklumat terkini mengenai pelbagai jenis hobi.
“Kita akan cuba adakan kolaboratif dengan NGO dan jabatan di bawah agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian… sekurang-kurangnya hobi mengenai aktiviti pertanian mahupun perkebunan boleh dikembangkan lagi,” katanya kepada pemberita di Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang di Butterworth baru-baru ini.
Katanya, buat permulaan MOBBY akan bergerak di sekitar daerah Seberang Perai Tengah di 18 lokasi untuk dua minggu sekali mengikut jadual.
Sharimah berkata, MOBBY juga berupaya membantu masyarakat untuk menjana pendapatan sampingan dengan menawarkan platform bagi mereka yang berminat untuk memasarkan barangan mereka.
“MOBBY bukan sekadar hobi, malah dapat membantu mendidik kanak-kanak dengan asas pembelajaran dunia kehidupan seterusnya dapat meningkatkan lagi kesihatan fizikal, mental, sosial, komunikasi, spiritual dan kemahiran teknikal,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Prof Dr P Ramasamy selaku Pengerusi PPAPP telah melancarkan MOBBY dalam satu majlis yang turut dihadiri Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Ayer Tawar Mustapa Kamal Ahmad.