Kemasukan ke Stadium Negeri dibenar dengan jumlah kehadiran yang terhad
KUCHING: Peminat bola sepak di negeri ini berpeluang menyaksikan perlawanan sukan itu di Stadium Negeri selepas 1 April nanti.
Ini berikutan Sarawak juga akan membenarkan penonton ke stadium tetapi dengan jumlah yang terhad dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) baharu berkaitan perkara itu.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pihaknya akan mengumumkan SOP itu dalam masa terdekat.
“Selepas 1 April 2021, ada SOP baharu berkaitan kehadiran penyokong dan pengunjung di stadium termasuk kemudahan-kemudahan sukan lain.
“Kita akan membuat pengumumman SOP tersebut dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan perlawanan pembukaan Liga Bola Sepak SSC-FAS 2021 di Stadium Negeri, Petra Jaya semalam.
Menyentuh tentang liga itu, beliau yang juga Menteri
Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berkata, ia hasil kolaborasi antara Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dengan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS).
“Kita sudah melihat usaha hasil dari perjanjian antara SSC dengan FAS menerusi kolaborasi tersebut yang menyaksikan Liga Bola Sepak SSC-FAS yang pertama kali diadakan di Sarawak,” tegasnya.
Jelas Abdul Karim lagi, liga itu terbuka kepada belia berumur 25 tahun dan ke bawah yang mewakili bahagian masing-masing.
“Terdapat12 pasukan yang terlibat dalam liga ini yang dibahagikan kepada tiga zon iaitu Zon Selatan melibatkan Kuching, Serian, Samarahan dan pasukan Piala Presiden Sarawak United FC II.
“Zon Tengah pula terdiri daripada Sibu, Sarikei, Betong, Sri Aman dan Kapit manakala Zon Utara melibatkan Miri, Mukah dan Bintulu,” ujarnya.
Hadir sama Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Ketua Pegawai Eksekutif SSC Dr Ong Kong Swee, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Nancy Jolhi dan tetamu kehormat lain.