Gunung Buda terus dibangun
Ia mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai daya tarikan lebih ramai pelancong, kata Nancy
“Kerajaan persekutuan bergantung kepada permohonan yang diutarakan kerajaan negeri termasuk membangunkan Gunung Buda sebagai warisan dunia yang bersambung dengan Gua Mulu.”
Datuk Seri Nancy Shukri
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia
LIMBANG: Usaha membangunkan Gunung Buda yang merupakan khazanah dunia sebagai destinasi pelancongan di Sarawak merupakan antara usaha yang sedang giat dilaksanakan kerajaan persekutuan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Gunung Buda mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai daya tarikan lebih ramai pelancong.
“Kerajaan persekutuan bergantung kepada permohonan yang diutarakan kerajaan negeri termasuk membangunkan Gunung Buda sebagai warisan dunia yang bersambung dengan Gua Mulu,” katanya kepada media ketika melawat Loagan Langari, Batu Danau yang merupakan venue utama Kejohanan Bot Kawalan Jauh Seborneo semalam.
Mengiringi beliau ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Ketua Setiausaha MOTAC Dato Dr Noor Zari Hamat, Timbalan Residen Limbang Sebi Abang, Wali kota Majlis Daerah Limbang (MDL) Kaunselor Sufian Mohat dan Pengerusi Kelab Bot Kawalan Jauh (KBKJ) Limbang Kaunselor John Wong.
Ahli Parlimen Batang Sadong itu turut menyokong usaha penganjuran Kejohanan Bot Kawalan Jauh Seborneo yang menarik minat pegunjung, sekali gus menghidupkan sektor pelancongan luar bandar melalui penganjuran sukan pelancongan.
“Kejohanan Bot Kawalan Jauh Seborneo merupakan sukan yang mampu menarik minat pelancong dan mempunyai peminatnya tersendiri.
“Jika sempadan dibuka semula, kejohanan ini boleh diteruskan dan kita akan berkolaboratif dengan kerajaan negeri dan persekutuan,” ujarnya.
Nancy juga menjelaskan, kerajaan persekutuan di bawah kementeriannya akan melihat senarai permohonan termasuk untuk membangunkan Loagan Langari,
Batu Danau sebagai venue kejohanan.
Kejohanan Bot Kawalan Jauh Seborneo yang bermula pada 2016 akan diangkat ke peringkat antarabangsa selepas mendapat penyertaan dari negara luar termasuk Thailand, selain dari Brunei, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Kejohanan itu berjaya mempopularkan Loagan Langari sebagai tempat rekreasi yang boleh dibangunkan untuk penganjuran program sama pada masa akan datang.