J-KOM rangka program manfaatkan OKU
PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menerusi Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) dan Unit Komunikasi Orang Kurang Upaya (OKU), kini sedang menyusun pelbagai program dan pengisian yang bakal memanfaatkan golongan itu.
Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) KKMM Mohamad Husni Ab Aziz berkata, ia akan melibatkan kerjasama rentas kementerian dan juga agensi, bagi membolehkan lebih banyak advokasi dan sokongan diberikan kepada golongan OKU di peringkat komuniti.
Sebagai perancangan awal beliau berkata, pihaknya akan menumpukan kepada program lapangan bagi memahami asas keperluan OKU, dan pada masa sama mendidik masyarakat biasa untuk merapatkan jurang antara keduadua komuniti tersebut.
“Buat masa ini, fokus diberikan kepada pengisian bulan puasa, pemasaran produk hasil buatan OKU melalui platform digital, telekomunikasi, dan juga kerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja berhubung peluang pekerjaan kepada golongan OKU,” katanya kepada Bernama selepas siri pertama Program ‘Tea Talk’ J-KOM Bersama-sama Komuniti OKU KKMM dan Persatuan OKU Putrajaya di sini, semalam.
Mengenai Unit Komunikasi OKU Mohamad Husni berkata, unit itu kini dalam tempoh pengisian jawatan dengan calonnya telah dikenal pasti.
Menteri KKMM Datuk Saifuddin Abdullah sebelum ini dilaporkan berkata, Unit Komunikasi OKU akan ditubuhkan bagi meningkatkan fasiliti komunikasi dua hala antara kerajaan dan golongan berkenaan, yang akan diketuai seseorang daripada dalam kalangan OKU.
Menurut Saifuddin, kerajaan sentiasa berpegang pada prinsip inklusiviti dengan memastikan tiada sesiapa yang terpinggir, sambil menyifatkan OKU sebagai golongan penting dan memberi sumbangan besar dalam pembangunan negara. — Bernama