Utusan Borneo (Sarawak)

Mangsa ‘Love Scam’ kerugian RM203,642

-

MIRI: Seorang penjawat awam wanita di sini mengalami kerugian RM203,642 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket ‘Love Scam’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak Superinten­den Maria Rasid berkata, mangsa berusia 33 tahun itu dikatakan berkenalan dengan seorang lelaki dikenali sebagai ‘Mason Harrison Davis’ yang mengatakan bekerja sebagai doktor di sebuah hospital di United Kingdom ketika melayari laman aplikasi temu janji Okcupid pada 1 Jun tahun lepas.

“Kemudian mangsa dilamar untuk berkahwin dengan suspek dan suspek mengatakan akan berpindah ke Malaysia. Untuk lamaran itu, suspek mengatakan akan menghantar wang berjumlah 155,000GBP atau RM828,812.16 melalui ‘Syarikat Transfast’.

“Sejak perkenalan itu, mangsa berhubung dengan suspek sebanyak satu jam setiap hari selama lebih kurang sebulan,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Kemudian Maria berkata pada 7 Julai tahun lepas, mangsa dihubungi oleh seorang wanita yang mengatakan dia ejen daripada ‘Syarikat Transfast’ dan meminta mangsa membuat pembayaran sebanyak RM200,000 bagi tujuan pelepasan wang yang dikirimkan oleh kenalannya itu.

“Mangsa membuat 20 transaksi pemindahan wang keseluruha­n berjumlah RM203,642 ke 11 akaun bank atas nama individu yang tidak dikenali antara 7 Julai 2020 hingga 17 Mac 2021 atas alasan pelepasan cukai dan pelepasan wang yang dihantar itu.

“Mangsa mula menyedari telah ditipu setelah suspek rakan media sosialnya itu masih meminta mangsa membuat bayaran tambahan dan seterusnya mangsa tampil membuat laporan polis kerana telah ditipu oleh suspek,” ujarnya.

Selain itu, polis turut menerima dua laporan ‘Parcel Scam’ yang masingmasi­ng berlaku di daerah Simunjan dan Kuching serta satu laporan penipuan nombor kata laluan sekali guna (OTP) di Sarikei.

Maria berkata kes ‘Parcel Scam’ yang dilaporkan di Simunjan turut melibatkan seorang penjawat awam wanita berusia 33 tahun yang mengalami kerugian RM3,550 setelah dipercayai ditipu oleh rakan media sosial dikenali melalui Facebook pada 26 Februari lalu.

“Manakala kes ‘Parcel Scam’ di Kuching melibatkan seorang pelajar wanita institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) berusia 27 tahun yang kerugian RM3,500 setelah didapati ditipu rakan kenalan media sosial yang dikenali sejak 5 Mac lalu.

“Sementara bagi kes penipuan nombor OTP di Sarikei turut melibatkan penjawat awam wanita berusia 56 tahun yang kerugian RM6,900 selepas dipercayai ditipu individu yang menyamar sebagai ejen Big Pay,” katanya.

Dalam pada itu, Maria mengingatk­an masyarakat agar tidak mudah terperdaya dengan sebarang pujian atau pujuk rayu rakan media sosial dan jangan terlalu mudah percaya dengan apa-apa tawaran seperti pemberian hadiah, bunga, coklat dan sebagainya daripada rakan media sosial.

“Masyarakat perlu lebih berhati-hati sekiranya terdapat sebarang komunikasi melibatkan wang, ini kerana penjenayah sedang masuk ke peringkat untuk mencapai objektif utama mereka iaitu mendapatka­n wang secara mudah dengan menipu. Oleh itu, jangan sesekali mendedahka­n atau memberikan maklumat perbankan atau maklumat kewangan anda.

“Selain itu, jangan sesekali mendedahka­n butiran perbankan dalam talian peribadi anda seperti nama pengguna, kata laluan atau maklumat akaun bank termasuk nombor TAC atau OTP anda kepada sesiapa sahaja, termasuk pihak yang mendakwa pegawai institusi kewangan, Bank Negara Malaysia atau pihak berkuasa,” menurutnya.

Sekiranya masyarakat mempunyai apa-apa kemusykila­n atau berkemungk­inan telah ditipu, anda boleh menyalurka­n maklumat melalui WhatsApp atau sistem pesanan ringkas (SMS) ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Infoline di talian 013-2111222.

Layari portal rasmi Polis Diraja Malaysia (rmp. gov.my), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (ccid. rmp.gov.my) dan Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak untuk mendapatka­n maklumat dan nasihat terkini berhubung penipuan kewangan (financial fraud) seumpamany­a.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia