Utusan Borneo (Sarawak)

Kes kematian COVID-19 di Brazil melepasi 3,000 buat kali pertama

-

BRASILIA: Kes kematian harian COVID-19 di Brazil melangkaui 3,000 orang buat kali pertama kelmarin, menyaksika­n negara itu bergelut untuk membendung kenaikan kes yang telah memaksa banyak hospital ke tahap kritikal.

Kementeria­n kesihatan mendaftark­an sebanyak 3,251 kematian dalam 24 jam lepas, menjadikan jumlah kematian hampir kepada 299,000 – kedua terbanyak selepas Amerika Syarikat (AS).

Rekod terbaru yang mengejutka­n itu juga didapati pada hari yang sama Presiden Jair Bolsonaro melantik menteri kesihatan keempat untuk pandemik, memberi tekanan untuk menukar keadaan selepas memperleke­h virus itu dan mengetepik­an nasihat pakar untuk membendung­nya.

Doktor jantung Marcelo Queiroga, 55, menyandang tugas itu daripada Eduardo Pazuello, jeneral tentera yang tidak mempunyai pengalaman perubatan dan caranya mengendali COVID-19 dikritik ramai.

Pazuello kini menjalani siasatan kerana gagal untuk memastikan bekalan oksigen mencukupi di kawasan utara bandar Manaus, di mana babak ngeri pada Januari menyaksika­n penghidap COVID-19 sesak nafas sehingga meninggal dunia apabila hospital kehabisan bekalan.

Dua menteri kesihatan terdahulu Bolsonaro, Doktor Luiz Henrique Mandetta dan Nelson Teich, bertelingk­ah dengan presiden atas keingkaran­nya memberi kerjasama kepada nasihat pakar dalam membendung virus.

Kadar purata kematian harian COVID-19 telah meningkat tiga kali ganda sejak awal tahun, kepada 2,364, yang tertinggi seluruh dunia buat masa kini.

Pakar menyatakan lonjakan itu ditambah dengan virus varian tempatan yang disyaki lebih mudah berjangkit.

Dalam tanda amaran baharu, pejabat pendakwa raya umum menyatakan kelmarin bahawa kementeria­n kesihatan telah melaporkan bekalan oksigen perubatan berada pada tahap “membimbang­kan” dalam enam daripada 27 negeri Brazil.

Salah satu pembekal oksigen Brazil, syarikat White Martins, menyatakan mereka berlumba-lumba untuk memenuhi “kenaikan mendadak” dalam permintaan sebanyak 300 peratus di sesetengah kawasan, kata pendakwa raya.

Sao Paulo, negeri paling padat Brazil dan pusat industri, menyatakan pada Isnin mereka akan menubuhkan pusat oksigen kecemasan dalam masa 10 hari dengan kerjasama syarikat Ambev untuk memberi bekalan kepada hospital yang mendapat permintaan terlalu banyak.

Negeri itu dengan populasi 46 juta, terjejas teruk oleh gelombang baharu COVID19.

Globo Tv melaporkan minggu lalu sekurang-kurangnya 135 orang yang disahkan atau disyaki dijangkiti virus itu telah meninggal dunia sementara menunggu katil jagaan rapi.

Di Brasilia, lebih 400 orang kini menunggu giliran untuk katil di Unit Rawatan Rapi (ICU). Video tular dalam talian menampakka­n mayat bertimbun di koridor hospital menanti dipindahka­n ke bilik mayat yang sudah terlalu penuh.

Enam negeri yang tahap oksigen paling kritikal ialah Acre dan Rondonia di barat laut, Mato Grosso di tengah barat, Amapa di selatan, serta Ceara dan Rio Grande do Norte di timur laut, kata pendakwa raya.

Brazil kini merekodkan 12.1 juta kes COVID-19 yang merupakan kedua tertinggi di dunia, selepas AS. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia