MANDI LUMPUR DI KAMPUNG MERITAM MENYERONOKKAN
Mandi di Lumpur Bebuak merupakan satu kewajipan bagi kanak-kanak di kampung itu
LIMBANG: “Badan terapung seperti berada di Laut Mati, sejuknya lain macam, badan pun sihat.”
Itu reaksi spontan Ikhwan Lutfan Amran, 13, ketika mandi di Lumpur Bebuak Kampung Meritam yang terletak lebih 40 kilometer dari pusat bandar.
Dia bersama rakannya Nazril Timbang, 9, begitu gembira berendam dalam lumpur sambil menunjukkan aksi terjun tanpa mengendahkan cuaca panas ketika itu.
“Memang seronok mandi lumpur ni, badan pun terasa segar dan sihat,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo di sini, baru-baru ini.
Menurut Ikhwan, lumpur tersebut seolah-olah tidak berdasar dan apabila berada di dalam kawahnya pengunjung akan terapung.
Katanya, mandi lumpur di situ merupakan satu kewajipan bagi kanak-kanak di kampung itu.
Beliau berkata, cuti persekolahan dimanfaatkan dengan aktiviti mandi-manda di Lumpur Bebuak bersama rakan-rakan yang lain.
“Jika hujung minggu Sabtu dan Ahad atau cuti persekolahan, kawasan ini seperti pesta lumpur kerana dipenuhi kanak-kanak dan pengunjung yang merasai ‘kesejukan’ mandi lumpur,” ujarnya.
Dia menambah, lumpur itu juga mempunyai khasiatnya tersendiri dan baik untuk merawat masalah kegatalan kulit.
Bagi Nazril, selain rasa sejuknya yang tersendiri mandi lumpur sangat berbeza dengan mandi biasa.
“Memang seronok mandi lumpur ni, badan pun terasa segar dan sihat. ”
Ikhwan Lutfan Amran
“Saya seronok dapat terjun, berenang dan mandi di lumpur bebuak ini.
“Badan pun berasa segar,” katanya.
Dengan rasanya agak masin dan teksturnya yang licin, lumpur bebuak sesuai untuk dilumur satu badan sebagai masker, selain menjadi terapi untuk menenangkan minda.
Pada masa ini, terdapat lebih 40 kawah lumpur pelbagai saiz antara satu hingga dua meter di tapak tersebut yang cukup aktif.
Kawah bersaiz besar mampu menempatkan 10 hingga 20 individu dalam satu-satu masa.
Lumpur Bebuak Kampung Meritam antara destinasi pelancongan luar bandar yang menggamit kehadiran pengunjung tempatan dan luar untuk menyaksikan sendiri fenomena tanah yang sentiasa lecak tanpa mengira musim baik tengkujuh mahupun kemarau.
Tanah tersebut membentuk busut secara perlahanlahan sebelum meletus dan mengeluarkan bunyi seakanakan cecair likat yang sedang membuak-buak.
Sifatnya yang sering meletus dan menghasilkan bunyi pelik menyebabkan penduduk tempatan menggelar lumpur unik itu sebagai Lumpur Bebuak.
Keunikan tersebut menyebabkan Kerajaan Sarawak melalui Majlis Daerah Limbang (MDL) membina beberapa kemudahan asas seperti tandas, bilik mandi awam serta jambatan kayu untuk digunakan oleh pengunjung.
Kawasan itu juga diiktiraf sebagai antara destinasi pelancongan terkemuka di Limbang.