HABUAN, PIALA BUAT RAJA DOTA 2
Kejohanan Siri Pertama 2021 itu berlangsung di D-Arena, D-Virtual Park, Kota Samarahan pada 27&28 Mac
KUCHING: Sebanyak 16 pasukan bakal berentap merebut kejuaraan DOTA 2 Championship Tournament Siri Pertama 2021 yang bakal berlangsung di D-Arena, D-Virtual Park, Kota Samarahan.
Presiden Kelab Sukan Elektronik Batang Sadong yang juga Ketua Marshall Serba Dinamik Dota 2 Championship Siri Pertama, Mohd Ehsan Wahab berkata kejohanan tersebut bermula hari ini.
“Kejohanan bagi peringkat kumpulan berlangsung
hari ini dan esok (27 dan 28 Mac).
“Manakala pusingan kalah mati pula akan berlangsung pada 3 dan 4 April depan di tempat yang sama (D-Arena, D-Virtual Park, Kota Samarahan),” katanya ketika dihubungi semalam.
Mohd Ehsan berkata, antara pasukan yang bakal menyertai kejohanan itu ialah Error 404 Gizmo Not Found, Dog Team, Vrallex Knight, Team Mask, Nguyen Team dan Team Random.
Turut serta Nguar Gaming, TheYeagerist, Hvrvhara, Online Island Reborn, AGG Esport, ETEKI, ESG.Evil Shadow Gaming, Boop, 5 Dices dan Mystical Team.
“Bagi peringkat kumpulan, pasukan yang menang dalam satu perlawanan akan mendapat tiga mata.
“Pasukan yang berada pada kedudukan pertama dan kedua dalam peringkat kumpulan akan layak bermain di peringkat pusingan kalah mati,” jelasnya.
Menurut Mohd Ehsan, juara bagi kejohanan tersebut bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000 dan piala.
Dalam pada itu, beliau memberitahu kejohanan tersebut dianjurkan bagi menghidupkan kembali suasana pertandingan dota secara 'offline' di Sarawak.
“Selain itu, ia sebagai usaha mempromosikan D-Arena kepada pemain-pemain eSukan di negeri ini.
“Malah, kejohanan ini juga bertujuan mempromosikan D-Virtual Park, Kota Samarahan kerana ramai belum tahu kewujudan tempat permainan digital ini,” katanya.
“
Kejohanan ini juga bertujuan mempromosikan D-Virtual Park, Kota Samarahan kerana ramai belum tahu
” kewujudan tempat permainan digital ini.
Mohd Ehsan Wahab
Presiden Kelab Sukan Elektronik Batang Sadong