USAHA MENGHIJAUKAN SARAWAK DIPERGIAT MENERUSI FLR: HAMDEN
KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak terus menggiatkan usaha menghijaukan negeri ini menerusi inisiatif Pemulihan Landskap Hutan (FLR).
Pengarah Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad berkata, sejak program FLR dilancarkan pada 15 Jun 2019, pelbagai usaha dan program penanaman pokok di negeri ini telah dilaksanakan.
Selain menanam pokok spesies tempatan, jabatan katanya turut menanam spesies ‘indigeous’ cepat tumbuh seperti engkabang, kelampayan, sawih, geronggang dan sebagainya untuk dibangunkan.
Jabatan katanya, juga telah membangunkan tapak-tapak semaian pokok hutan di Sabal, Niah, Sibu dan Lawas bagi menampung keperluan anak benih pokok hutan untuk tujuan penanaman di seluruh negeri ini.
“Bagi membantu pelaksanaan penghijauan Sarawak, jabatan turut memanfaatkan teknologi bagi mengenal pasti kawasan-kawasan yang perlu direstorasi.
“Jabatan juga telah berbincang untuk bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menjalankan pelbagai penyelidikan dan kajian dalam bidang perhutanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2021 Peringkat Negeri Sarawak di Taman Tasik Bukit Siol, DBKU di sini semalam.
Mengenai Kempen Penghijauan Malaysia yang menyasarkan penanaman 100 juta pokok di seluruh negara, Hamden berkata Sarawak menyasarkan penanaman 35 juta pokok menjelang tahun 2025.
Sehingga Mac 2021 katanya, Sarawak telah berjaya menanam sebanyak 3.15 juta pokok dan menduduki tangga teratas bagi penanaman semula di bawah kempen ini.
“Jabatan telah menerima peruntukan khas daripada kerajaan persekutuan berjumlah RM4 juta untuk pelaksanaan kempen ini tahun ini.
“Selain itu, kita juga menerima peruntukan persekutuan di bawah RMK-12 sebanyak RM6.34 juta untuk pelaksanaan program FLR bagi tahun 2021,” katanya.
Dalam pada itu, tahun ini kerajaan negeri telah meluluskan dana pembangunan sejumla RM10 juta dan peruntukan dari tabung ces hutan sebanyak RM2.5 juta bagi program berkaitan dengan penhijauan Sarawak.
Jabatan turut menerima dana sebanyak RM300, 000 daripada badan korporat seperti Sarawak Energy Berhad untuk program restorasi di Batang Ai.