APAM tawar bonus seunit, pelepasan cukai pelanggan dana pencen
KUALA LUMPUR: AIA Pension and Asset Management Sdn Bhd (APAM) baru-baru ini melancarkan dana terbarunya, AIA-PAM Global Islamic Growth Fund (AIAGIG).
Pengurus Besar APAM Nor Daliya Mohd Daud berkata, dana tersebut dilancarkan bagi memperluas penawaran produk Skim Persaraan Swasta (PRS) bagi memenuhi permintaan pelaburan patuh syariah yang semakin meningkat.
“Dana ini bertujuan menawarkan pertumbuhan modal dengan melabur sekurangkurangnya 60-90 peratus nilai aset bersihnya dalam ekuiti patuh syariah termasuk skim pelaburan kolektif Islam terutamanya di pasaran global,” katanya.
Daliya menjelaskan, dana itu menawarkan pelbagai manfaat termasuk peluang pelaburan global di mana pelabur dapat mengakses syarikat dan industri yang memiliki potensi pertumbuhan yang tidak dalam pasaran saham tempatan.
Tambahnya, dana ini menawarkan pendedahan pasaran yang lebih meluas termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Luxembourg dan negara-negara Asia sebagaimana yang dibenarkan.
Menurut Daliya, ketika ekonomi dunia dalam fasa pemulihan kesan pandemik COVID-19 beserta sokongan polisi tambahan dan penawaran vaksin, pihaknya melihat peluang untuk memanfaatkan pasaran Malaysia.
“Ekonomi global dijangka tumbuh sebanyak 5.5% pada tahun 2021 dan 4.2% pada tahun 2022 berdasarkan ramalan terkini Dana Kewangan Antarabangsa (IMF),” katanya.
Daliya yakin pelancaran dana PRS oleh APAM ini membolehkan para pelabur memanfaatkan pertumbuhan global sambil mempelbagaikan risiko merentasi sektor dan geografi dalam meningkatkan potensi pulangan jangka masa panjang.
Katanya, kadar pelaburan adalah berpatutan dengan sumbangan awal dan tambahan minimum RM100 yang mana dana ini menawarkan tanda aras pulangan 6% setahun.
Bersempena pelancaran itu, APAM memberi promosi istimewa sehingga 31 Mac 2021 untuk menawarkan satu peratus unit bonus sebagai sumbangan kumulatif minimum sebanyak RM1,000.
“Tawaran itu tertakluk kepada maksimum unit bernilai RM5,000 untuk setiap ahli sepanjang tempoh kempen,” katanya.
Selain itu, katanya, pelabur dapat menikmati pelepasan cukai peribadi sehingga RM3,000 setiap tahun sehingga tahun 2025.
Maklumat lanjut boleh diperoleh dari www.aia-prs. com.my atau menghubungi Cheryl Choo atau Jeremy Fong di talian 011-3998 5093/012-639 1779.