Sejahterakan ekonomi masyarakat luar bandar
20 peserta mentee PPP KPLB terima sijil tamat kursus dan peralatan
PAPAR: Seramai 20 orang mentee dalam pembuatan mi dan peruncitan yang menyertai Program Peningkatan Pendapatan (PPP) berjaya menerima sijil tamat kursus serta peralatan.
Dalam majlis semalam, seramai tiga orang mentee akan menerima sijil serta peralatan berkenaan sementara bakinya akan diserahkan kemudian.
Mereka yang menerima sijil dan peralatan kali ini ialah Ivy Clarice Charles berasal dari Kuala Penyu, Siti Raman@Siti Rama Budal@Odal (Sipitang) dan Suinin John @ Jacqueline (Tuaran).
PPP Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Malaysia adalah program bantuan kerajaan kepada rakyat khususnya golongan B40 miskin dan miskin tegar.
Majlis penyerahan Sijil Tamat Kursus dan Peralatan telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abd Latiff Ahmad ketika dalam lawatanya ke Kilang Mee Kuning Aniq di sini, semalam.
Bantuan seumpamanya diharapkan dapat membantu peserta meningkatkan ekonomi dan seterusnya membina kehidupan yang lebih baik.
Bagi meningkatkan PPP, KPLB menggalakkan penglibatan usahawan sebagai mentor kepada penerima bantuan. Program mentor mentee seumpamanya diharapkan dapat membantu para penerima menjana kemahiran dan pendapatan secara konsisten.
Di sini, SNS Enterprise telah berjaya membantu 20 orang mentee dalam bidang pembuatan mi kuning dan peruncitan.
Diharapkan program Mentor Mentee PPP dapat dikembangkan dalam pelbagai bidang yang boleh membantu masyarakat menjana pendapatan.
Kerajaan hari ini menjamin akan terus komited menjayakan program bantuan masyarakat luar bandar yang sejahtera.
Seorang penerima Ivy Clarice Charles, 29, berkata, dia sangat berterima kasih kepada kerajaan khususnya KPLB Malaysia yang telah memberikan peluang seumpamanya.
Dia yang memulakan perniagaan sejak 2019 berhasrat untuk bergerak lebih jauh dalam bidang berkenaan.
“Saya sangat berterima kasih dengan peluang ini, saya juga mahu lebih maju pada masa hadapan,” katanya.
Pada majlis itu, Ivy menerima peralatan berupa chiller, peti sejuk, rak besi empat tingkat dan parut kelapa.
Siti menerima mesin pam air, kereta sorong, meja besi, ‘chainsaw’, dan mesin pengisar sagu. Suinin menerima mesi pengadun, mesin peleper dan mesin pemotong.
SNS Enterprise adalah mentor kepada program PPP KPLB tahun 2020 dalam bidang pemprosesan mee kuning dan Peruncitan. Syarikat itu menjadi pelaksana Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) dalam bidang pemprosesan mi kuning 2020.
Seramai 10 orang peserta telah mengikuti program berkenaan dari September 2020 sehingga November 2020 dalam bidang memproses mi kuning basah dan kering.