Utusan Borneo (Sarawak)

PKPD di Kampung Baji, Sarikei dan di Sungai Rassau, Matu mulai hari ini

-

KUCHING: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat­kan (PKPD) akan dikuatkuas­akan di Kampung Baji, Sarikei dan Sungai Rassau di Batang Igan, Matu bermula hari ini, 3 April 2021 hingga 16 April 2021.

Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataann­ya semalam berkata, keputusan itu dibuat memandangk­an kes dari kawasan-kawasan berkenaan kian meningkat.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi ke atas lokaliti yang berlaku kenaikan kes secara mendadak dalam tempoh lima hari, maka JPBNS bersetuju untuk melaksanak­an PKPD di Kampung Baji, Sarikei dan di Sungai Rassau, Batang Igan, Matu.

“PKPD bagi kedua-dua kawasan tersebut berkuat kuasa mulai 3 April 2021 hingga 16 April 2021,” katanya.

Dalam pada itu, JPBNS memaklumka­n bahawa Daerah Dalat, Belaga dan Lundu kini bertukar status daripada Kuning kepada Hijau semalam setelah tiada kes jangkitan tempatan direkodkan dalam tempoh 14 hari lepas.

Jelasnya, ini menjadikan jumlah daerah berstatus Hijau meningkat kepada sembilan daerah.

“Daerah lain yang berstatus hijau ialah Pusa, Asajaya, Lawas, Simunjan, Daro dan Kabong,” katanya.

Manakala Daerah Betong pula bertukar status daripada Merah kepada Kuning setelah merekodkan hanya 15 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lepas, menjadikan jumlah daerah berstatus Merah telah menurun kepada 10 daerah.

“Sementara itu, Daerah Sri Aman kembali kepada status Jingga daripada status Merah setelah merekodkan hanya 38 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lepas.

“Manakala Daerah Lubok Antu kini berstatus Kuning daripada Hijau setelah merekodkan satu kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lepas,” katanya.

JPBNS berkata daerah di Sarawak yang berstatus Merah ialah Beluru, Samarahan, Serian, Julau, Meradong, Kuching, Kapit, Bintulu, Miri dan Sibu.

Menurutnya, selain Sri Aman, tiga daerah lain berstatus Jingga adalah Sarikei, Kanowit dan Bukit Mabong.

Manakala Tatau, Tanjung Manis, Song, Matu, Pakan, Marudi, Subis, Tebedu, Bau, Mukah, Selangau, Limbang, Telang Usan, Saratok dan Sebauh berstatus Kuning.

JPBNS menambah, sebanyak 36 kluster yang masih aktif semalam.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 12 kluster yang melaporkan terdapat penambahan kes, manakala 24 kluster lagi tidak ada penambahan kes,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia