Utusan Borneo (Sarawak)

Suspek kes tembakan di California kenal semua mangsa: Polis

-

LOS ANGELES: Suspek dalam insiden tembakan beramai-ramai yang meragut nyawa empat penduduk California, termasuk seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun, mengenali secara peribadi dan menyasarka­n mangsanya dalam satu serangan yang dirancang lebih awal, kata polis kelmarin.

Serangan ke atas sebuah bangunan pejabat kecil di bandar Orange, selatan Los Angeles, pada petang Rabu selepas dua insiden tembakan beramai-ramai pada awal Mac lepas yang sekali lagi mencetuska­n perdebatan mengenai kawalan senjata api di Amerika Syarikat (AS).

“Ini bukan satu tindakan keganasan secara rambang,” kata leftenan polis Jennifer Amat pada sidang media.

“Motif awal dipercayai sebagai berkaitan dengan hubungan perniagaan dan peribadi, yang wujud antara suspek dan kesemua mangsa, dan ia kelihatan semua orang dewasa telah dikaitkan sama ada melalui perniagaan atau hubungan peribadi,” jelasnya.

Suspek, dikenali sebagai Aminadab Gaxiola Gonzalez berusia 44 tahun, telah menutup pagar masuk ke bangunan dengan mangga kunci basikal yang menghalang anggota polis memasuki kawasan tersebut.

Anggota polis melepaskan tembakan ke arah lelaki bersenjata itu melalui pagar, menyebabka­nnya mengalami kecederaan serius, dan kini masih dirawat di hospital.

Semasa memasuki bangunan, polis menemui kanakkanak yang meninggal dunia dan seorang wanita dewasa dipercayai sebagai ibunya, yang berada dalam keadaan kritikal.

“Ia kelihatan bahawa seorang budak lelaki meninggal dunia dalam pelukan ibunya yang cuba menyelamat­kannya ketika kejadian yang mengerikan itu,” kata peguam daerah Todd Spitzer.

Tiga mangsa lain, dua wanita dan seorang lelaki, telah ditemui di sebuah pejabat syarikat hartanah kecil dan di sebuah kawasan pendaratan berhampira­n.

Sepucuk pistol semi-automatik dan sebuah beg sandang mengandung­i penyembur lada, gari dan peluru milik suspek turut ditemui di tempat kejadian. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia