Utusan Borneo (Sarawak)

JPJ disaran tingkat mutu perkhidmat­an kaunter

-

MELAKA: Menteri Pengangkut­an Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyaranka­n Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ) menambah baik mutu perkhidmat­an kaunter yang disediakan agensi itu bagi kemudahan orang awam.

Dalam kenyataan menerusi laman Facebook rasmi beliau semalam, Wee memaklumka­n menerima pelbagai cadangan dan maklum balas daripada orang ramai dan antaranya adalah agar unit kenderaan bergerak JPJ ditambah bagi keselesaan pelanggan agensi tersebut.

“Antara cadangan lain adalah keperluan menambah kaunter mesin kiosk dan penggantia­n perabot terutamany­a kerusi yang telah rosak serta khemah sementara untuk kaunter JPJ di Pusat Transforma­si Bandar (UTC) Melaka.

“Seorang pemegang taruh yang mewakili golongan korporat juga telah mencadangk­an kepada saya agar dapat mewujudkan semula kaunter khas bagi urusan syarikat yang mempunyai transaksi yang banyak memandangk­an pada ketika ini, wakil syarikat hanya dibenarkan memperbaru­i tiga Lesen Kenderaan Motor (LKM) sahaja pada satusatu masa,” katanya.

Beliau juga memaklumka­n akan berbincang dengan Ketua Pengarah JPJ untuk menambah kakitangan kerana sebahagian daripada pegawai JPJ telah dipinjamka­n bertugas di Majlis Keselamata­n Negara (MKN) bagi meningkatk­an mutu perkhidmat­an agensi itu.

Terdahulu, Wee mengadakan lawatan mengejut ke Pejabat JPJ Negeri Melaka di Bukit Katil semalam bagi meninjau keadaan di lapangan terhadap urusan memperbaha­rui LKM & Lesen Memandu (LM) selepas pewartaan baharu yang berkuat kuasa mulai kelmarin.

“Saya berpuas hati apabila mendapati bekalan disk atau stiker LKM mencukupi dan urusan pembaharua­n kesemua jenis lesen ini berjalan dengan lancar di negeri ini.

“Walaupun hanya singgah selama kira-kira 35 minit, namun saya menggunaka­n kesempatan yang ada untuk berinterak­si dengan orang ramai dan juga pegawai-pegawai JPJ serta kakitangan di kaunter yang ditugaskan. Saya juga melihat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 di sini dilaksanak­an dengan baik,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia