PERNIAGAAN LEBIH KONDUSIF
KPDNHEP sedang mengemas kini untuk meminda peraturan di bawah SSM, kata Nanta.
KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kini dalam proses mengemas kini untuk meminda peraturan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), kata Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata, usaha itu penting ke arah menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif sejajar dengan peredaran zaman.
“Maka itu, kita perlu melihat semula beberapa peraturan dan undang-undang sedia ada dalam SSM yang perlu dipinda atau dimansuhkan.
“Ini termasuk idea, polisi dan peraturan baharu kerana kita mahu mempromosikan perniagaan yang lebih kondusif. Dan sekarang ini, SSM dalam proses mengemas kini dan seterusnya meminda peraturan yang disesuaikan dengan persekitaran perniagaan semasa,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Malaysia Prihatin bersama KPDNHEP dan Persekutuan Persatuan Cina Sarawak (SFCA) di City Square, Jalan Pending di sini, semalam.
Nanta berkata, usaha itu juga adalah sebahagian daripada fokus kementerian yang mahu menjadikan Malaysia setanding dengan negara maju yang lain dalam sektor perniagaan.
Katanya, banyak negara maju sudah melaksanakan peraturan perniagaan baharu, misalnya New Zealand yang membenarkan aset untuk cagaran kredit.
“Mereka membenarkan usahawan yang mempunyai banyak ternakan lembu yang mempunyai nilai untuk dicagarkan, jadi di sinilah mekanisme tersebut dapat digunakan.
“Polisi baharu ini juga bertujuan menggalakkan lebih ramai masyarakat terlibat dalam perniagaan secara positif,” katanya.
Terdapat tiga agensi di bawah KPDNHEP iaitu SSM, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Dalam perkembangan berkaitan, Nanta menyeru mereka yang memiliki perniagaan agar mendaftar dengan SSM.
SSM katanya, adalah salah satu agensi di bawah KPDNHEP bagi membolehkan perniagaan menikmati pelbagai insentif serta bantuan yang ditawarkan oleh kerajaan.
“Di Sarawak, kebanyakan peniaga berdaftar di bawah Ordinan NamaNama Perniagaan dan bukannya dengan SSM.
“Sekiranya mereka tidak berdaftar, apabila kerajaan menyalurkan bantuan, mereka tidak akan menerima manfaatnnya kerana data serta maklumat mereka tidak terdapat dalam SSM,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan KPDNHEP akan terus memberi tumpuan untuk membanteras aktiviti syarikat atau individu yang memonopoli perniagaan bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kompetitif dalam kalangan usahawan.
Terdahulu, Nanta dalam ucapannya berkata, KPDNHEP bersama semua agensi di bawahnya komited melaksanakan pelbagai polisi, program dan inisiatif untuk manfaat komuniti peniaga.
“Selari dengan falsafah kementerian kita, usaha ini bagi memastikan tidak ada pihak ketinggalan dalam mendapat bantuan yang disalurkan kerajaan.
“Oleh kerana masih ada dalam kalangan masyarakat yang masih belum jelas terhadap usaha kerajaan melaksanakan Proklamasi Darurat sejak Januari lalu serta tindakan membendung COVID-19, KPDNHEP berasa perlu untuk kita turun padang.
“Ia bagi membolehkan kita bersemuka dengan rakyat dari pelbagai peringkat bagi menerangkan perincian program, kekeliruan dan salah faham termasuk menjawab segala kemusykilan yang timbul,” katanya.
Menurutnya, program tersebut merupakan sebahagian inisiatif turun padang bagi menerangkan perkara sebenar serta menjelaskan kecelaruan yang timbul daripada pelbagai berita palsu yang telah tersebar selama ini.