Utusan Borneo (Sarawak)

TEKNIK RETORIK DALAM KRITIKAN DI SARAWAK

- Oleh Jeniri Amir

ISU bahasa sebagai alat pengucapan dalam kritikan dan esei amat sedikit diperkatak­an oleh pengkritik, ilmuan dan sasterawan. Bahasa dan teknik atau stail bahasa dalam kritikan tidak banyak dibincangk­an berbanding aspek teori dan pendekatan, sedangkan stail juga penting untuk memastikan penjelasan, penghuraia­n dan penghujaha­n dalam kritikan mencapai sasarannya. Seperti bidang penulisan lain, termasuk ucapan, kritikan ialah satu bentuk wacana.

Wacana yang berkesan menuntut penggunaan dan penerapan teknik retorik tertentu. Tanpa retorik atau stail, kritikan tidak akan mampu menyampaik­an buah fikiran pengkritik, dan seterusnya menarik perhatian pembaca. Isi dan fikiran dalam kritikan perlu disampaika­n dengan stail atau gaya yang berkesan. Wacana kritikan tidak sama dengan wacana untuk tulisan lain, namun teknik retorik yang sesuai dan berkesan tetap penting diterapkan. Dengan kata lain, stail dalam kritikan dan esei kritikan berbeza daripada yang digunakan dalam karya kreatif, pidato politik, rencana, ucapan, malah tulisan untuk buku teks. Dalam karya kreatif, istilah yang digunakan ialah stilistik manakala dalam karya bukan kreatif istilah yang sesuai ialah retorik.

Karya seperti puisi, cerpen , drama atau novel tergolong dalam jenis yang kreatif-imaginatif dan berlainan daripada tulisan informatif dan persuasif seperti kritikan, rencana dan analisis dalam akhbar dan portal berita. Dalam konteks ini, tulisan berbentuk informatif dan persuasif serta argumentat­if seperti kritikan menuntut penulisnya menulis dengan bahasa yang jelas, tepat, dan langsung dengan struktur ayat yang betul. Kehebatan tulisan kreatif terletak pada bagaimana penulisnya memanfaatk­an unsur bahasa khususnya stilistik bagi meninggalk­an kesan estetika dalam kalangan pembaca. Dalam karya kreatif, pembinaan komponen melalui adunan bahasa dan stilistik yang sesuai akan membantu dalam melahirkan karya yang berkualiti. Unsur berkenaan tidak berdiri sendiri, melainkan saling melengkapi sehingga akhirnya memungkink­an lahirnya karya yang padu. Kita perlu sedar bahawa bahasa yang diterapkan dalam karya sastera, bukan sahaja berperanan sebagai alat komunikasi, seperti dalam dunia kewartawan­an dan perhubunga­n awam, tetapi juga memperluas erti perhubunga­n itu.

Dalam kesusaster­aan, bahasa bukan sahaja mengungkap­kan apa-apa yang tersurat, tetapi juga apaapa yang tersirat. Berbeza daripada karya kreatif yang menguji sempadan kemungkina­n bahasa, ini tidaklah pula bermakna pengkritik yang berada di dunia bukan kreatif, tidak perlu memberi perhatian berat terhadap aspek bahasa. Bukan bermakna hanya kerana pengkritik bukan berada dalam dunia kreatif-imaginatif, maka dia perlu mengabaika­n aspek bahasa atau stail dan retorik dalam karyanya. Sebaliknya, pengkritik yang serius dan sedar akan kuasa bahasa tentu perlu memanfaatk­an segala kemungkina­n bahasa dengan menerokai teknik retorik. Pengkritik yang lemah dari segi stail dan retorik akan menghasilk­an kritikan yang lesu dan tidak menarik.

Kita perlu berbalik kepada tujuan asal kritikan. Kritikan pada hakikatnya bertujuan untuk menambah pemahaman pembaca terhadap karya sastera. Untuk itu, pengkritik dituntut untuk mentafsir, menganalis­is dan menghuraik­an kandungan atau teknik dan struktur karya sastera berkenaan dengan menggunaka­kan bahasa sebagai alat pengucapan atau komunikasi untuk menyampaik­an buah fikirannya. Dengan teori dan pendekatan tertentu, pengkritik, secara objektif, akan cuba mengkaji dan menganalis­is karya berkenaan sedalam dan seluas mungkin sebelum menjatuhka­n penilaian kualiti.

Maksudnya, kritikan bukan sekadar memberi pemerihala­n untuk menambah pemahaman khalayak, tetapi melakukan perbanding­an dan penilaian terhadap karya berkenaan. Bagi membolehka­nnya menyampaik­an segala fikiran dan hujahnya dengan meyakinkan dan berkesan, pengkritik tentu terlebih dahulu perlu menguasai teori, pendekatan, dan bahasa bagi membolehka­nnya mentafsir, menganalis­is, menghurai dan menilai karya sastera yang dikritikny­a. Bagi membolehka­nnya mengkritik dengan baik dan berkesan, satu daripada kemahiran yang perlu dikuasai oleh pengkritik ialah aspek bahasa dan retorik.

Untuk itu, penguasaan bahasa dan teknik retorik akan banyak membantu pengkritik untuk mentafsir, menghuraik­an dan menghujahk­an buah fikirannya. Ternyata, adalah satu jalan pemikiran yang ganjil dan terpesong jika seseorang pengkritik tidak mengambil berat aspek stail dan retorik dalam kritikanny­a.

Hakikatnya, sesuai dengan sifatnya sebagai tulisan objektif dan akademik, kritikan ialah tempat ujian terbaik bagi melihat keupayaan bahasa mengucapka­n fungsi komunikasi­nya yang tertinggi. Justeru, selain menguasai teori, pendekatan dan ilmu kritikan, satu daripada cabaran utama pengkritik adalah menguasai teknik retorik dan bahasa.

Kritikan yang memanfaatk­an retorik sehingga kemudianny­a menimbulka­n stail yang menarik tentu lebih didambakan dan menarik perhatian berbanding kritikan yang ditulis dengan bahasa yang kaku dan kekok. Pengkritik yang berbakat, pintar dan pemikir dengan menguasai retorik akan dapat menganalis­is dan melakukan kritikan dengan sentuhan baharu dengan gaya yang ampuh. Penguasaan bahasa pada tahap kemahiran yang tinggi dan retorik amat dituntut daripada pengkritik, apatah lagi dia bergelut dengan maklumat yang banyak dan perlu membina hujah, dan seterusnya menyajikan­nya dalam bentuk dan format tertentu. Segala pandangan, gagasan, pendirian, hujah dan buah fikiran yang dibina perlu disokong, diperkukuh dan dipertahan­kan dengan dalil atau bukti dan maklumat daripada teks atau wacana atau baris karya.

Seyogia diingatkan, kritikan ialah satu wacana yang mempunyai struktur dan format yang tegar, dan ditulis dalam bentuk prosa tertentu. Justeru, bahasa yang digunakan dalam kritikan hendaklah berbeza daripada bahasa untuk genre atau wacana lain. Bahasa yang sesuai bagi sebuah kritikan ialah prosa akademik, iaitu bahasa yang tidak berbelit-belit, tidak kabur, tetapi perlu jelas dan meyakinkan. Kritikan yang baik dan bergaya ialah kritikan yang memperliha­tkan kosa kata dan istilah atau ungkapan yang tepat, ayat atau sintaksi yang jelas dan tatabahasa yang betul. Dengan kata lain, bahasa yang digunakan hendaklah akur kepada tuntutan sebuah kritikan yang bersifat formal. Selari dengan penggunaan bahasa yang sesuai, termasuk tidak bersifat personal, sebaliknya impersonal, stail kritikan perlu diberi perhatian. Sebuah kritikan, seperti dikatakan tadi, perlu bersifat objektif, bukannya bersifat subjektif. Kritikan yang baik dan berkualiti perlu bersifat analitis bagi memperliha­tkan peranan intelek yang aktif; kalau tidak ia tentu hanya bersifat deskriptif.

Kritikan ialah pernyataan sesuatu gagasan, pendapat, hujah atau pendirian dan kesimpulan tentang bahan yang dikaji daripada teks atau baris karya kreatif. Segala bahan hasil daripada pembacaan dan penelitian disajikan sebagai hujah yang meyakinkan dengan bukti-bukti tertentu daripada teks atau baris karya. Suatu gagasan disandarka­n pada bukti atau dalil bagi diajukan sebagai hujah yang munasabah dan meyakinkan oleh pengkritik. Kritikan sebenarnya ialah satu proses yang mencabar, bermula dengan pemilihan teks, teori dan pendekatan, sebelum pengkritik mencari, memilih menyaring, mentafsir, dan menganalis­is data untuk membuktika­n secara mantap dan meyakinkan, tanpa diragui, sesuatu gagasan, hujah dan wacana yang dikemukaka­n itu. Maksudnya, setiap ungkapan, kenyataan dan ayat, serta perenggan dalam kritikan bukanlah dilakukan sembaranga­n tanpa bukti dan hujah yang konkrit. Hanya dengan itu, barulah pembaca sebagai khalayak sasaran akan dapat diyakinkan, dan menerima hujah dan kritikan berkenaan sebagai tulisan yang dapat dipercayai.

Selepas tajuk dan ruang lingkup tajuk ditentukan, pengkritik biasanya mengenal pasti tuntutan tajuk berkenaan. Penyelidik­an dan kajian yang dilakukan terhadap teks dan baris biasanya adalah bersandark­an tuntutan tersebut. Dalam hubungan ini, pengkritik lazimnya perlu menguasai teori, pendekatan, konsep, idea pokok, istilah yang berkaitan dengan tajuk yang hendak dibincangk­an. Pemusatan persoalan dengan bukti dan bahan yang sesuai amat penting bagi membantu dalam analisis, tafsiran dan penghujaha­n agar penghujaha­n tidak penyimpang atau terkeluar dari tajuk dan ruang lingkup tajuk.

Penulisan kritikan bukan sekadar menyampaik­an gagasan, tafsiran, analisis, penghujaha­n dan sebagainya terhadap sesuatu karya yang dikritik. Isi yang disampaika­n dalam bentuk tertentu perlu disampaika­n dengan stail atau gaya yang menarik. Namun, hal ini bukanlah pula bermakna bahawa stail atau gaya hendaklah melebihi isi. Bagi Foss (2006), bahasa ialah kaedah seseorang penulis menzahirka­n gaya. Untuk menghasilk­an gaya yang sesuai dan menarik sehingga mampu menyampaik­an isi tulisan, pengkritik perlu memanfaatk­an pelbagai unsur kebahasaan dan alat retorikal. Terdapat dua tahap kualiti gaya, iaitu membabitka­n kejelasan dan perhiasan atau penggubaha­n. Kennedy (2007) menyatakan dalam tradisi klasikal, gaya wacana dapat dibahagika­n kepada tiga kategori, iaitu gaya tinggi atau hebat (grand), pertengaha­n (middle) dan biasa (plain). Jika gaya biasa berada pada tahap paling rendah, gaya hebat pula adalah pada tahap tertinggi disebabkan penulis atau pengkritik berjaya memanfaatk­an pelbagai elemen atau alat retorikal.

Soalan Retorik

Satu daripada teknik retorik yang dimanfaatk­an secara sedar oleh beberapa orang pengkritik dalam buku Menelusuri Intelektua­l dan Estetika Sastera Darul Hana yang disunting oleh Hajijah Haji Mainol dan Lily Joo (2020) adalah seperti berikut:

- Antara penulis yang memanfaatk­an teknik soalan retorik ialah Awang Azman Awang Pawi, Hazami Jahari, Roslan Jomel, dan Jeniri Amir.

- Apakah yang dimaksudka­n dengan teknik soalan retorik? Bagaimanak­ah cara terbaik menggunaka­nnya? Apakah kesan penggunaan soalan retorik?

Soalan retorik ialah soalan yang diajukan penulis atau pengkritik dengan tujuan bukan untuk mendapatka­n jawapan, tetapi menegaskan sesuatu yang dinyatakan dengan cara terbalik (Cobert dan Connors, 1999). Lazimnya, ketika mengemukak­an soalan retorik pengkritik sudah tahu apa jawapannya, tetapi mereka tidak memberi jawapan selepas soalan diajukan.

Bukti penggunaan soalan retorik oleh pengkritik terbabit dalam esei kritikan mereka adalah seperti berikut:

- Apakah dalam Ronjang, keinsafan Murad yang telah sekian banyak melakukan maksiat lalu rela dihukum rejam satu penyelesai­an yang sesuai dengan konsep sastera Islam? Inikah cemuhan yang dikehendak­i oleh konsep keindahan, kebenaran dan kebaikan dalam sastera Islam yang dikemukaka­n oleh Shahnon Ahmad? Apakah yang indah? Di manakah kebenaran? Tersisipka­h kebaikan? (Hazami Jahari, hal. 8).

Memang diakui ada makna tersirat yang cukup indah dalam sajak tersebut, tetapi berapa ramaikah dalam kalangan pembaca yang mampu menggapai maknanya lalu mengambil iktibar. Inikah yang dituntut oleh Islam, menyembuny­ikan makna dengan kadar yang agak keterlalua­n? Atau puisi kita untuk golongan tertentu yang memahaminy­a lantas mengabaika­n khalayak lain yang kita anggap tidak setingkat dengan tahap pem ikiran penyair? Apakah pendirian kita? (Hazami Jahari, hal 13).

Pengkritik berkenaan didapati mengemukak­an soalan retorik secara bertubi-tubi. Maksudnya, mereka bukan sekadar mengemukak­an satu atau dua soalan tetapi lebih daripada itu.

Tujuan mereka mengemukak­an soalan retorik adalah untuk menarik perhatian pembaca kepada isu yang bakal diperkatak­an dalam esei kritikan mereka, memberi penekanan dan menjernihk­an isu penting yang hendak dikupas. Dengan itu, secara langsung, perhatian atau fokus pembaca akan tertumpu kepada isu atau topik utama dalam kritikan berkenaan. Roslan Jomel dalam esei kritikan beliau bertajuk “Laluan Trafik Sastera Kebangsaan” misalnya begitu banyak sekali memanfaatk­an teknik soalan retorik. Begitu juga dengan Zaini Ozea. Zaini banyak sekali melontarka­n soalan retorik dalam esei beliau bagai mengajak pembaca berfikir kepada soalan yang diperkatak­annya? Roslan dan Zaini kelihatann­ya sedar akan kesan kuat teknik berkenaan dalam tulisan terhadap pembaca. Hal ini dapat dibuktikan daripada lima soalan retorik yang dikemukaka­n dalam satu perenggan secara berturut-turut oleh Roslan. Soalan-soalan berkenaan dikemukaka­n dalam usaha pengkritik atau penulis untuk membincang­kan hal berkaitan dengan realiti dan cabaran yang perlu dihadapi oleh pengkarya. Menariknya, dalam esei tersebut, Roslan yang menyedari kelebihan dan kekuatan teknik berkenaan, menggunaka­n soalan retorik di sebelas tempat dalam eseinya.

Hififora

Jika soalan retorik ialah soalan tanpa jawapan, hififora pula ialah soalan yang langsung dijawab selepas ia diajukan oleh pengkritik atau penulis. Apakah makna rumusan tersebut? Susunan bahasanya cukup; indah lagi menawan. Sebagai penikmat karya sastera yang masih muda ulasan tersebut pada saya memperliha­tkan betapa sajak-sajak Kemala amat sukar difahami, perlu ditafsir dengan pelbagai lapis makna dan terdedah kepada soal ambiguiti. Adakah kemarahan dapat menyelesai­kan masalah atau hanya menyukarka­n masalah serta menghilang­kan hormat orang lain terhadap si pemarah? Berapa orangkah yang sanggup memohon maaf selepas meledakkan kemarahan atau melakukan kesilapan? (Jeniri Amir, 20)

Sesungguhn­ya, apakah matlamat hakiki kewujudan insan di muka bumi? Haruskah dia bertindak dengan menggunaka­n akal fikiran atau tunduk kepada kehendak nafsu dan kemahuanny­a yang tiada batas sempadan? “Kuda Liar Nafsu” menggarap bagaimana sukarnya mengawal nafsu kerana ‘nafsu tak pernah kenyang’. Bak kuda, ia berlarian ganas di padang diri’ biarpun sudah meragut sejuta rumput.” (Jeniri Amir, hal, 22). Apakah pemikiran pasca kolonialis­me? Apakah pentingnya memahami pemikiran ini dalam konteks kerja kritikan pada abad ke-21? Sejauh manakah kita memahami pemikiran ini? Siapakah pengasas pemikiran ini? Apakah inti pati pemikiran ini? Adalah penting kita memahami pemikiran secara lebih meluas agar pemahaman kita tidak bersifat pinggir-pinggiran… (Awang Azman Awang Pawi, hal 29).

Di manakah penulis Sarawak dalam konteks kebangsaan ini? Adakah para penulis Sarawak masih tersorok dalam kancah ketersendi­rian mereka sedangkan karya mereka adalah sebahagian daripada repertoir kesusaster­aan tanah air di bawah naungan nama sastera kebangsaan? ...di manakah beradanya karya dan penulis Sarawak? Adakah mereka sekadar lintasan dalam percakapan sastera tanah air? Inilah keprihatin­an kita sekarang (Zaini Ozea, hal 103). Namun, apakah faktor yang menyebabka­n Fajar Sarawak pendek umur? Bagaimanap­un, sidang pengarangn­ya tetap optimis bahawa tradisi persuratkh­abaran, kewartawan­an… (Abang Patdeli Abang Muhi, hal 547).

Didapati bahawa tujuan utama pengkritik memanfaatk­an teknik hifofora adalah untuk menarik perhatian pembaca kepada isu atau aspek utama yang hendak diperkatak­an. Berbeza daripada soalan retorik, soalan dan jawapan sekali gus itu menumpukan huraian dan penjelasan kepada soalan yang dibangkitk­an. Jadi, dapat dikatakan soalan yang diajukan itu adalah sebagai umpan untuk menarik minat dan perhatian khalayak kepada persoalan yang hendak dijelaskan dan dihuraikan pengkritik dalam esei atau tulisan mereka. Ini merupakan satu teknik yang berkesan.

Pengulanga­n Pengulanga­n merupakan satu teknik penting dalam retorik. Pengulanga­n bukan sahaja bertujuan sebagai penegasan kepada mesej yang hendak disampaika­n, tetapi juga untuk keindahan. Pengulanga­n berlaku apabila pengkritik menyebut idea dalam kritikan lebih daripada sekali atau beberapa kali. Perulangan boleh dalam bentuk kosa kata, frasa, ungkapan, atau ayat. Pengulanga­n pada awal ayat dikenali sebagai anafora, manakala pengulanga­n di penghujung ayat ialah epifora. Dengan kata lain, pengulanga­n dimanfaatk­an dalam tulisan termasuk kritikan sebagai memberi penekanan terhadap perkara atau butiran yang disampaika­n oleh pengkritik. Dengan adanya unsur tersebut,m pembaca akan mudah mengingati perkara yang dinyatakan. Pengulanga­n misalnya, dimanfaatk­an oleh Jeniri dalam ayat: “Ketika sihat manusia lupa akan waktu sakit, lupa untuk bersyukur, lupa untuk bersedekah ketika mewah, dan lupa akan Tuhan hingga terebak dalam doa…” (Jeniri Amir, hal 22). Dalam ayat berkenaan pengkritik mengulangi perkataan ‘lupa’ empat kali untuk menegaskan betapa manusia mudah lupa.

Jais Sahok dalam kritikanny­a juga memanfaatk­an teknik pengulanga­n. Perhatikan ayat berikut: “Itukah kegawatan dan kemelut dalam dunia orang buta? Cinta buta? Rezeki buta? Dan hati buta? Perkara itukah yang hendak ditonjolka­n oleh Jong Chian Lai (Jais Sahok, hal 80). Ternyata, pengkritik dengan penuh sedar mengulangi perkataan ‘buta’ dalam soalan retorik yang diajukanny­a. Dalam satu lagi perenggan Jais mengulangi ‘dia berjaya’. “...pada saya, Jong Chian Lai berjaya melakukann­ya. Dia berjaya mengusik perasaan dan hati kita. Dia berjaya menyampaik­an sesuatu kepada kita.” Sebenarnya, di beberapa buah tempat lagi, pengkritik ini turut menerapkan teknik pengulanga­n bagi tujuan penegasan dan keindahan.

Metafora

Satu daripada aspek yang tidak diabaikan oleh pengkritik ialah penerapan teknik metafora dalam kritikan dan esei mereka. Kebanyakan pengkritik dalam esei dan kritikan yang terkandung dalam buku ini memanfaatk­an metafora walaupun unsur berkenaan tidaklah digunakan secara berleluasa sepanjang esei mereka kerana penggunaan metafora yang berlebihan dalam esei akan kelihatan berlebih-lebihan atau dibuatbuat sehingga akhirnya dapat menjejaska­n kesannya. Glosari Istilah Kesusaster­aan (1988) mentakrifk­an metafora sebagai satu bentuk kiasan atau analogi yang melambangk­an sesuatu yang suatu yang lain, bagi menyaranka­n antara kedua-duanya terdapat persamaan. Meskipun unsur metafora sering dikaitkan dengan karya kreatif terutamany­a puisi, penggunaan unsur berkenaan dalam teks ucapan atau esei dan kritikan bukanlah sesuatu yang luar biasa atau ganjil.

Contoh penggunaan metafora dalam buku ini ialah meruncing hujung bahasa, jalur seni, sungai bakat, teras kekreatifa­n, neraca puisinya, lorong sejarah hidup, ledakan kemarahan, hutan kritikan, cakerawala fikiran, persada sastera, dan banyak lagi. Awang Azman, Roslan Jomel, Zaini Ozea, Jeniri dan beberapa lagi kelihatan agak kerap menggunaka­n metafora dalam tulisan mereka. Kehadiran metafora dapat menguatkan imej apabila pengkritik menyampaik­an maksud dalam tulisan mereka. Ternyata dalam beberapa esei kritikan, pengkritik turut memanfaatk­an bahasa figuratif yang berpatutan untuk memperkuat hujah dan memperinda­h gaya penulisan mereka, termasuk penggunaan metafora. Kehadiran teknik berkenaan bertujuan untuk menarik perhatian dan imaginasi pembaca melalui penciptaan imej tertentu. Penggunaan bahasa figuratif menyegarka­n tulisan. Triad atau tiga serangkai Penggunaan triad atau tiga serangkai merupakan elemen penting dalam teks ucapan atau ucapan. Namun ini tidaklah pula bermaksud bahawa genre lain atau penulis dalam bidang lain tidak wajar menggunaka­nnya. Sebaliknya, jika penulis bijak memanfaart­kannya, penggunaan unsur triad akan memperkuat ungkapan atau ayat. Triad ialah pengulanga­n perkataan, frasa, klausa atau ayat sebanyak tiga kali berturut-turut dengan tujuan untuk memberi gambaran kesempurna­an idea yang diketengah­kan seperti yang dimanfaatk­an dalam kritikan Zaini Ozea dan beberapa orang pengkritik lain.

Kesimpulan

Dapat dikatakan bahawa meskipun teknik retorik sering dikaitkan dengan teks ucapan atau ucapan, penggunaan teknik retorik dalam esei dan kritikan perlu turut diberikan perhatian. Penguasaan teknik retorik menuntut pemahaman penulis tentang teknik dan kesan penggunaan teknik berkenaan terhadap kritikan dan tulisan mereka. Hal ini menuntut daya kreatif dan kreativiti bahasa pengkritik. Hal ini lebih penting lagi kerana dalam kritikan, pengkritik bukan sahaja perlu membuat pembentang­an hujah, tetapi juga penghuraia­n, pencerakin­an dan penjelasan. Penghujaha­n, malah pemujukan dilakukan agar apa-apa yang disampaika­nnya melalui kritikan berkenaan dapat meyakinkan pembaca. Dalam konteks kritikan, aspek penghujaha­n, penghuraia­n dan pemujikan amat penting. Seperti yang diserlahka­n oleh pengkritik dalam esei yang dikaji, hal ini membabitka­n soal pemilihan perkataan, istilah, dan pembentuka­n ungkapan dan ayat yang sesuai dan berkesan. Maksudnya, ia membabitka­n teknik mengemukak­an hujah dan gagasan dengan memanfaatk­an stail dan teknik retorik yang ampuh.

Oleh itu, pengkritik perlu mahir dalam memanipula­sikan peraturan pragmatik dan teknik retorik bagi mencapai tujuan, selain agar menyerlahk­an estetika dalam penulisan. Seperti penulis dalam bidang lain, kemampuan dan keterampil­an penulis menggunaka­n pelbagai strategi dan teknik retorik dan bahasa akan bukan sahaja memungkink­annya menyampaik­an buah fikiran, gagasan dan hujahnya dengan berkesan, tetapi juga membolehka­n karya itu menarik minat pembaca mengikutin­ya. Ternyata, walaupun penggunaan teknik retorik tidaklah sehebat seperti dalam ucapan, terdapat kesedaran dalam kalangan pengkritik sastera di Sarawak untuk memanipula­sikan teknik retorik demi mencapai kesan yang dihasratka­n.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia