Utusan Borneo (Sarawak)

Gagal manfaat peluang punca TFC II seri

-

KUALA TERENGGANU: Gagal menyempurn­akan peluang ‘terhidang’ di depan mata merupakan antara punca Terengganu FC II (TFC II) terpaksa berkongsi mata dengan PDRM FC selepas seri 1-1 dalam aksi Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini malam kelmarin.

Keputusan seri itu merupakan kelima berturut-turut dicapai skuad bimbingan Badrul Afzan Razali yang sebelum ini seri dalam pertemuan dengan Kuching City FC (1-1), Negeri Sembilan (2-2), Kelantan FC (0-0) dan Sarawak United (0-0).

Badrul Afzan berkata anak buahnya menunjukka­n aksi yang baik pada separuh masa pertama sehingga meledakkan gol pada minit 35 melalui sepakan dalam kotak penalti Mohammad Ramzi Sufian.

Namun, penghuni tangga keempat Liga Premier itu terleka apabila memasuki separuh masa kedua sehingga membuka ruang kepada skuad ‘Sang Saka Biru’ menyamakan kedudukan pada minit ke 49 melalui tandukan Alexander Amponsah.

“Saya sering ingatkan pemain, 10 minit terawal sama ada separuh masa pertama atau kedua, perlu fokus. Kita mempunyai peluang tetapi tidak menyempurn­akannya dengan baik. Mungkin apabila mereka cuba menjaringk­an gol, tetapi tidak berjaya jadi mereka pun putus asa,” katanya dengan nada kecewa ketika ditemui pemberita selepas perlawanan itu di sini.

Sementara itu, pembantu jurulatih PDRM FC Eddy Gapil menyifatka­n keputusan itu memberi semangat positif buat pasukannya yang kini menduduki tangga ke10 liga.

Beliau berkata meskipun percaturan­nya pada separuh masa pertama tidak menjadi, namun pada separuh masa kedua para pemain bangkit memberi saingan yang sengit kepada tuan rumah.

“Apa yang kita rancang malam ini menjadi. Syukur dapat juga kumpul satu mata. Ini sudah cukup bermakna buat kami,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia