Utusan Borneo (Sarawak)

Dua lagi kluster baharu jangkitan COVID-19 diisytihar di Sarawak

-

KUCHING: Dua lagi kluster baharu jangkitan COVID19 diisytihar di Sarawak semalam iaitu Kluster Jalan Bangunan Kerajaan di Beluru dan Kluster Sungai Kawi di Meradong.

Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataan berkata, kes Kluster Sungai Kawi merekodkan 119 kes baharu jangkitan semalam menjadikan jumlah keseluruha­n meningkat kepada 127 kes setakat ini.

“Seramai 224 individu telah disaring di bawah Kluster Sungai Kawi ini di mana 127 didapati positif, dua individu didapati negatif manakala 95 lagi individu masih menunggu keputusan ujian makmal.

“Manakala Kluster Jalan Bangunan Kerajaan di Beluru merekodkan enam kes baharu, meningkat kepada 37 kes.

“Seramai 171 individu telah disaring di bawah Kluster Jalan Bangunan Kerajaan ini, 134 negatif dan tiada yang menunggu keputusan ujian makmal,” katanya.

Keseluruha­nnya sebanyak 42 kluster jangkitan COVID19 masih aktif di Sarawak setakat ini dengan 13 kluster merekodkan penambahan kes manakala 29 kluster lagi tiada penambahan kes.

Mengenai status daerah di Sarawak, daerah Dalat dan Daro telah bertukar daripada status Hijau kepada status Kuning semalam selepas masing-masing merekodkan satu dan empat kes jangkitan tempatan.

Ini menjadikan jumlah daerah berstatus Hijau menurun kepada lima daerah iaitu Telang Usan, Lundu, Pusa, Simunjan dan Kabong.

Manakala daerah berstatus Kuning meningkat kepada 19 daerah iaitu Dalat, Daro, Asajaya, Lawas, Bukit Mabong, Belaga, Betong, Lubok Antu,

Tatau, Tanjung Manis, Song, Matu, Pakan, Subis, Tebedu, Bau, Mukah, Selangau dan Limbang.

Daerah Sri Aman, Sarikei, Beluru, Samarahan, Serian, Julau, Meradong, Kuching, Kapit, Bintulu, Miri dan Sibu kekal berstatus Merah manakala Daerah Saratok, Sebauh, Marudi dan Kanowit kekal berstatus Jingga.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia