China hukum mati dua bekas pegawai kerajaan di Xinjiang
BEIJING: Dua bekas pegawai kerajaan etnik Uighur di Xinjiang, China telah dijatuhkan hukuman mati selepas didapati bersalah menjalankan “aktiviti pengikut fahamam pemisahan”, menurut mahkamah, menyaksikan Beijing semakin mendapat tentangan dalam tindakannya terhadap kumpulan minoriti kawasan itu.
Shirzat Bawudun, bekas ketua jabatan kehakiman Xinjiang telah dihukum mati dengan dakwaan “memecah belah negara”, menurut sebuah kenyataan dalam laman web kerajaan Xinjiang kelmarin.
Bawudun telah bersekongkol dengan sebuah organisasi teroris, menerima rasuah dan menjalankan aktiviti pemisah, kata Wang Lantao, pemangku presiden Mahkamah Tinggi Xinjiang pada satu sidang media.
Bawudun didapati bersalah kerana bersekongkol dengan Gerakan Islamik Timur Turkestan (ETIM) yang disenaraikan dalam kumpulan “teroris” oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selepas bertemu beberapa ahli utama kumpulan itu pada 2003, menurut agensi berita Xinhua.
Bawudun juga secara haram memberi “maklumat kepada angkatan asing” di samping menjalankan “aktiviti keagamaan terlarang semasa majlis perkahwinan anaknya”, kata Xinhua. Kenyataan mahkamah mengulas Sattar Sawut, bekas pengarah jabatan pendidikan Xinjiang, juga dihukum mati selepas didapati bersalah dalam jenayah pemisahan dan menerima rasuah.
Sawut bersalah kerana memasukkan unsur pemisahan etnik, keganasan, terorisme dan pelampau agama dalam kandungan buku teks bahasa Uighur, kata pihak berkuasa.
Mahkamah menyatakan buku teks itu telah mempengaruhi beberapa orang untuk terlibat dalam serangan di kota Urumqi termasuk satu rusuhan ganas yang mengorbankan sekurangkurangnya 200 nyawa pada 2009.